30 Ogos 2008

Ahlan Ya Ramadhan !!!

Assalamualaikum w.b.t.

Jarang-jarang sekali saya tulis santai di sini. Kebanyakkan entri adalah isi-isi ilmiah. Jadi sesekali perlu juga mengomel dan berborak oleh kerana tiada idea untuk menyusun suatu fakta atau perbahasan ilmu. Beberapa tugas juga belum selesai- persatuan, kuliah, urusan peribadi dsb. Dek hambatan aktiviti-aktiviti tersebutlah maka sukar untuk menyusun isi dan menulis.

Masa berlalu begitu laju. Sedikit hari lagi umat Islam akan menyambut puasa Ramadhan. Bulan Rejab dan Syaaban yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri telahpun berlalu. Sebagai muhasabah untuk diri; apakah ketaatan yang telah kita lakukan sebagai seorang hamba Allah yang berlumba-lumba mengejar kebaikkan? sebanyak mana penderhakaan dan kesalahan yang telah kita cuaikan? Alhamdulillah, jika banyak kebajikan yang telah kita laksanakan dengan pertolongan Allah dan rahmatNya. Astaghfirullah, jika sebaliknya dan berusaha memperbaiki segala kesilapan.

Dengan kehadiran Ramadhan, kita sebagai mukmin berasa gembira kerana kedatangan bulan ini diturunkan pelbagai rahmat dan nikmat oleh Allah SWT dan penuh kesedihan kerana takut jika bulan yang mulia ini tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya. Penuh kecuiaan dan kealpaan. Lebih malang lagi dengan berlalunya Ramadhan tidak memberi sebarang perubahan kebaikkan pada diri. Tidak meningkat menuju kejayaan sebagai seorang mukmin. Masih ditakuk lama. Sudah berapa lama kita menemui Ramadhan? Sudah berapa kali kita mentarbiyah diri dalam bulan tersebut? Berjayakah kita sebelum ini melaluinya?

Marilah sama-sama kita menghayati Ramadhan tahun ini samada yang tersurat ataupun tersirat, pada sudut hukum mahupun akhlak dan falsafah Ramadhan itu sendiri. InsyaAllah kita mungkin dapat melalui Ramadhan pada tahun ini. Tetapi untuk tahun depan belum tentu lagi; tidak kita ketahui-Allah SWT Maha Mengetahui. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menanam tekad dan azam untuk menjadikan pengisian Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang lalu. Dan apabila kita menanam azam sudah pasti kita memasak langkah-langkah dan perancangannya. Samada dari sudut ibadah ( membaca dan mentadabbur Al-Quran, qiyammullail, tarawih, sedekah, menuntut ilmu, kerja kebajikan dsb ), akhlak ( mujahadah menanam sikap mahmudah dan menghakis sifat mazmumah ), memperbaiki segala amal ibadah yang khusus dan umum.

Allahuakbar.....bukan mudah sebenarnya untuk melaksanakan semua itu tetapi keyakinan kepada firman Allah SWT: " Maka sesungguhnya tiap-tiap kesusahan itu ada disertai kemudahan,dan (ditegaskan lagi) sesungguhnya tiap-tiap kesusahan itu ada disertai kemudahan...", menjadi satu semangat untuk terus berusaha. Maka peranan kita untuk sama-sama bermujahadah dan saling mengingati serta menasihati.

'Ya Allah bimbinglah kami dan berilah kekuatan kepada kami untuk kami menuju keredhaan Mu'. Amin ya Rabbal A'lamin.

( Sorry.....melalut....)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam persaudaraan, mencari kebenaran...