25 Februari 2008

Emmmm.....(kering idea)


"Seorang pelancong Australia nampak kebingungan ketika mencari sebuah restoran makanan barat di Jalan Pasir. Tak lama kemudian seorang budak kecil melintas didepannya, dan tanpa berfikir panjang dia cuba bertanya pada budak kecil itu dengan bahasa melayu yang kucar kacir(tidak fasih).
"Maaf dik.. tumpang tanya.. Apa betul ini jalan Pasir?" Budak kecil itu mengangguk sambil menjawab... "ha'ah" Pelancong itu tidak faham perkataan 'ha'ah'. Namun kerana budak kecil itu mengangguk. Dia yakin bahawa jawabannya adalah betul.

Dengan keadaan yang masih dalam kebingungan.. melintaslah pula seorang remaja di depannya. Lalu sekali lagi dia bertanya.. "Maaf dik.. tumpang tanya... Apa betul nama jalan ini adalah jalan Pasir?" Budak remaja itu mengangguk sambil menjawab, "Benar" Nampaknya pelancong itu tidak juga memahami perkataan 'benar'. Namun kerana budak remaja itu mengangguk.. dia yakin yang jawabannya adalah betul. Masih dalam kebingungan, melintaslah pula orang dewasa.. lalu pelancong itu segera bertanya "Maaf encik.. saya tumpang tanya... Apa betul nama jalan ini Jalan Pasir?" Orang dewasa itu mengangguk sambil menjawab, "Betul."

Akhirnya pelancong itu merasa puas hati,tapi masih kehairanan.. lalu untuk menghapus rasa keraguannya.. dia bertanya"Saya keliru.. tadi saya bertanya kepada budak kecil, tapi jawabannya 'ha'ah'.. lalu saya bertanya kepada seorang remaja muda dan jawabannya 'benar'. akhirnya saya bertanya kepada encik dan encik menjawab 'betul', tapi semuanya mengangguk. Sebenarnya mana yang betul?"

"Oh, itu maksudnya sama aja.Kalau yang menjawab 'ha'ah' bererti latar belakang pendidikannya sekolah rendah aje... Kalau yang menjawab 'benar', orang itu latar belakang pendidikannya pasti sekolah menengah, dan kalau

yang menjawab 'betul' itu pastinya orang itu ada sarjana," jawab orang dewasa itu. "Jadi.. Anda tadi menjawab 'betul', bererti anda seorang sarjana ya?" tanya pelancong lagi.. Orang dewasa ini terus mengangguk sambil menjawab, "ha'ah".

--------------------------------------------------------------------------------------

Kadangkala kita tahu dan memberitahu bahawa itu salah dan ini yang betul, tetapi tanpa disedari kita sendiri yang membuat kesalahan tersebut. Bahkan lagi malang apabila kesalahan itu berlaku dalam masa yang sama tika kita memberitahu/berpesan pada orang lain. Sedarkah atau tidak??? Fikir-fikirkan.

23 Januari 2008

Kerana Iman.....

Suatu hari saya terbaca web blog http://www.zaharuddin.net/ berkenaan rayuan seorang lelaki muslim yang berhajat sangat untuk menjaga imannya. Tahu ketinggian nilai sebuah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Beliau merayu kepada wanita-wanita muslimah khususnya, agar menjaga tubuh badan mereka yang boleh membawa ramai kaum Adam ke lembah neraka. Beliau meluahkan perasaan, membantunya agar tidak terpandang lagi wanita-wanita yang 'berpakaian tidak cukup kain' sedangkan mereka mampu membeli pakaian berfesyen dan berjenama dengan harga yang agak mahal. Lebih merisaukan saya ialah keadaan beliau yang sudah pun berumahtangga; apatah pula keadaan bagi remaja-remaja dan muda-mudi yang masih membujang...
Pernah saya terbaca dalam sebuah forum berkenaan individu yang mengalami masalah sama dengan saudara kita ini sedangkan dia seorang pelajar agama lepasan Timur Tengah (wallahu a'lam samada Syria,Mesir,Jordan,Mekah,Madinah atau selainnya). Mungkin sahabat-sahabat boleh fikirkan, seorang yang telah berumahtangga dan seorang yang mendapat pendidikan agama tidak mampu untuk menahan ujian ini,bagaimana pulalah keadaan muslimin lain yang tidak berstatus seperti mereka berdua..???
Sememangnya benar, kalau sekadar berilmu agama tetapi tidak dihayati dan diamalkan manakan iman dan taqwa akan tersemai. Umpama air dicurah ke daun keladi. Apabila saya menyebut menghayati dan beramal dengan ilmu agama tidak bermakna hanya Solat 5 waktu,Puasa Ramadhan,Zakat dan Haji sahaja tetapi pengamalan agama dengan skop yang lebih luas. Islam agama yang lengkap dan sempurna serta inginkan kemudahan serta keselamatan untuk penganutnya tetapi jangan pula kita mempermudah-mudahkannya. Demikian juga dalam kehidupan muslim yang telahpun berumahtangga, semestinya ada nilai-nilai Islam dalam setiap urusan hidup mereka. Bukan kedua pasangan sahaja yang mendapat untung bahkan zuriat mereka. Manakala, bagi mereka yang bercita-cita melangkah ke alam baru itu semestinya bersedia dari saat ini membentuk peribadi diri agar mereka mampu membina sebuah keluarga muslim contoh.
Namun demikian, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk membentuk a'lim yang beramal dengan ilmunya dan suami isteri serta ibu bapa mithali. Tetapi bukan suatu perkara yang mustahil jika ada keazaman tinggi,kebersamaan dan kesepakatan untuk membuat perubahan. Sukar jika dilaksana sendirian. Takut-takut jatuh di pertengahan jalan tiada yang menghulur tangan memberi bantuan. Dari pembentukan a'lim yang beramal dan suami isteri serta ibu bapa mithali inilah diharap dapat melahirkan generasi yang berkualiti dan tahan lasak dari godaaan jahiliyah moden kini.
Sebagai maudu' entri pada kali ini mari meneliti sebuah hadis sebagaimana disebutkan oleh Nabi s.a.w :-

المرأة عورة فإذا خرجت استشرفها الشيطان وأقرب ما تكون من ربها إذا هي في قعر بيتها

Ertinya : "Wanita itu adalah aurat (seluruh tubuhnya kecuali tangan dan wajah menurut jumhur ulama), dan apabila ia keluar dari rumah, maka Syaitan akan menghiaskannya (sehingga mampu menarik pandangan lelaki), dan paling hampir wanita dengan tuhannya adalah apabila ia berada di rumah" (Riwayat at-tirmidzi, no 1173, 3/476 ; Ibn Hibban, 12/413 ; Imam Tirmizi berkata : Hasan Gharib ; Syuaib Arnout : Sanadnya sohih ; Albani : Sohih )

Imam Al Hafiz Muhammad Al-Mubarakfuri menyebutkan bahawa wanita dihiasi Syaitan adalah apabila ia keluar dengan perhiasan ditayangkan (termasuk auratnya) yang sengaja untuk menarik perhatian lelaki kepadanya. (Tuhfatul ahwazi , 4/283).

Di sini link untuk sahabat-sahabat melihat dan mengamati perbincangan sepertimana yang saya sebutkan di atas:


11 Januari 2008

SALAM MAAL HIJRAH 1429

Assalamualaikum w.b.t. pembuka tulisan...
Mungkin tidak terlewat untuk saya ucapankan selamat menghayati Maal Hijrah sempena peristiwa bersejarah yang telah berlalu 1429 tahun lalu....
Apa azam diri untuk tahun baru ini??...berhijrah??..ke mana??..
Apapun hayatilah......sambil melangkah dengan semangat untuk pergi berhijrah....
TeRimAlaH...




# Maaf tak letak entry ape pun...EXAM

26 Disember 2007

Hargailah kelebihan orang lain.....Insafilah kelemahan diri

Pergaulan kita seharian bersama pelbagai kawan-kawan mengenalkan kita pelbagai ragam hidup manusia.Tidak perlu dinyata berkenaan pelbagai ragam yang didengari dari telinga kita kerana belum tentu kesahihannya; tetapi apa yang dipandang oleh kedua biji mata. Bukan untuk dicanang marata-rata tetapi sebagai mizan bagi diri kita yang kerdil dan lemah ini tika meniti jambatan menuju alam sana. Kebaikan pada kawan kita adalah pemotivasi, kekurangan pada mereka sebagai muhasabah diri.

Sesungguhnya,kawan yang mukmin itu adalah cermin bagi diri kita. Hal demikian juga pada diri kita;cermin kepada mereka. Maka benarlah ungkapan 'ad-dakwah bil hal afsah min dakwah bil lisan'. Kerana itu, junjungan besar Rasulullah saw merupakan contoh tauladan yang baik terserlah di hadapan dan belakang masyarakat, disegani kawan dan lawan. Oleh kerana kawan adalah cermin kepada kita samada dari sudut kelebihan atau kekurangan mereka maka janganlah dipecahkan cermin itu. Padahnya, serpihan tersebut terkena pada kita juga. Jika cermin tersebut tercemar gilaplah ia, jika jernih berkilat manfaatkan sebaiknya.

Sedarlah bahawa setiap orang ada lebih dan kurang.Hargai kelebihan mereka,jadikan sempadan segala kekurangannya.Hormatilah mereka sepertimana kita hormati diri sendiri.Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
" Tidak beriman (tidak sempurna) seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dia kasih untuk dirinya sendiri".
Ambillah yang jernih ,buang yang keruh. Kebaikan pada mereka kita kongsi bersama,kekurangan pada mereka jangan dicemuh. Di sinilah sifat husnu dzon perlu dipupuk dalam diri walau ianya sukar.

Walaupun begitu, agama tidak mengajar kita mementingkan diri sendiri. Setiap kekurangan kawan-kawan kita yang boleh mencemar agama dan peribadinya harus dinasihati. Ad Deen An-Nasihah adalah tanggungjawab setiap muslim mukmin. Sebuah hadis masyhur riwayat Imam Muslim sebagaimana maksud sabda Rasulullah saw:
" Agama itu adalah nasihat. Kami bertanya: Untuk siapa? Jawab Baginda saw: Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, para Imam muslimin dan seluruh muslimin ( selain Imam-Imam)".

Tiadalah guna ilmu di dada andai tidak dimanfaat sepenuhnya; dikongsi bersama.
Patutkah kita seorang diri masuk ke Syurga sedang kawan kita dibiar terseksa? Walau bagaimanapun, untuk menasihati seseorang perlu diketahui adab-adabnya. Tidak sepatutnya di hadapan khalayak ramai walau dua tiga orang. Sebaiknya, hanya kita dan kawan kita sahaja. Selain itu,gunakan bahasa yang baik, kalam yang boleh diterima oleh mukhatab, reaksi yang baik. Niat kita juga bukan untuk kepentingan duniawi tetapi ukhrawi-Lillahi Taala.

Sememangnya sukar untuk melaksanakannya. Membaca dan memahami mungkin mudah tetapi untuk melaksanakannya.......yang menulis pun tidak mudah mengamalkannya. Namun, jika kita bersepakat bersama mewujudkan suasana ini, ia pasti terjadi.

+ Suburkanlah hidup biah solehah +

12 November 2007

Cerita ringkas mereka dari tanahair

Assalamualaikum w.b.t. buat pembaca-pembaca setia dan kaki-kaki blog khasnya serta saudara-saudara yang terlawat ke blog ini umumnya. Di sini ingin aku membawa sedikit coretan dan buah fikiran bagi mengisi kekosongan blog ini.Baru-baru ini beberapa orang sahabat aku telah kembali ke Jazirah al-Ward,setelah beberapa bulan bercuti di tanahair.
Alhamdulillah, aku berkesempatan untuk menyambut mereka dari airport lagi.Keceriaan dan kepuasan bersama keluarga dan bayu Malaysia teserlah di wajah masing-masing.Membawa pengalaman dan kenangan tersendiri walau tidak lama mana berada di tanahair.Di sini bukan aku nak ceritakan tentang kawan-kawan aku yang pulang ke sini dengan flight apa, siapa yang pulang bersama mereka, kuih dan makanan apa yang mereka bawa ke mari tetapi sedikit maklumat dan pengetahuan yang mereka santapkan untuk kami di sini.

Di antara mereka ada yang bawakan bahan-bahan bacaan;ada pula yang menceritakan pengalaman dan suasana di tanahair serta beberapa aktiviti mereka di sana.

Seorang sahabat aku, membawa majalah MASTIKA beberapa keluaran dari bula-bulan lalu. 'Panas','Terbakar' 'Kontroversi'-itulah antara isu-isu hangat yang telah diketengahkan oleh MASTIKA.Alhamdulillah, ada juga sebuah majalah yang membongkar berkenaan isu-isu sosial umat kini,khasnya berkenaan remaja.
Sahabat lain pula mengisahkan perihal aktiviti mereka di sana. Baru sehari berada di rumah, sudah dijemput untuk menjadi ini dan itu-imam,ustaz, urus jenazah,bekerja dalam lapangan dakwah dan sebagainya.Kesempatan yang ada tidak disia-siakan;diterima juga jemputan tersebut walau agak berat memikulnya.

Sahabat-sahabat aku juga turut menceritakan keadaan kawan-kawan yang seusia kami dan lebih remaja daripada kami.Mereka yang ketiadaan atau kekurangan pendidikan agama.Kepincangan akhlak dan adab yang melanda mereka amat meruncing.Sahabat aku kata, tidak perlu melihat dan meninjau budak-budak kota,cukup sudah dengan gelagat budak-budak luar bandar yang memeningkan kepala.

Fuhhh...kalaulah aku disuruh pulang oleh keluarga ke kampung..macam mana lah agaknya keadaan kampung aku?Mampukah aku menghadapi mereka yang tediri dari pelbagai peringkat umur dan pelbagai latar belakang hidup?..