11 Disember 2014

Cuti Sekolah 2014

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Lebih kurang 20 hari lagi cuti sekolah akan berakhir. Masa berlalu sangat pantas. Bagi sebahagian guru, cuti panjang ini mungkin tidak seperti sebahagian murid-murid yang dapat menikmati kerehatan dan kelapangan masa bersama keluarga dan kawan-kawan. Main bersama dan berkongsi hobi. Membantu keluarga dan menziarahi saudara -mara. Kenapa saya sebut sebahagian murid?

Murid dan pelajar zaman sekarang bukan seperti saya sewaktu kecil-kecil dulu. Sekarang pelbagai kem dan tuisyen untuk mereka sangat berkembang bahkan masuk hingga ke sebahagian kampung-kampung. Ibubapa yang sedikit berkemampuan dan ada kesedaran menghantar anak-anak mereka ke kem-kem dan tuisyen serta kelas. Samada kem, tuisyen dan kelas fardhu ain atau fardhu kifayah; duniawi mahupun ukhrawi. Perkara ini juga termasuk lawatan-lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh sebahagian sekolah. Dengan demikian, murid-murid ini sudah mempunyai jadual aktiviti sepanjang cuti. Mereka diajar untuk mengisi masa lapang ini dengan aktiviti terus belajar walau dalam musim cuti. Kanak-kanak pun sudah sibuk!

Sebahagian murid yang keluarga tidak berkemampuan hanya mengisi masa mereka dengan membantu ibubapa di rumah. Ada juga yang membantu keluarga menambah pendapatan kewangan. Apatah lagi mereka yang akan menempuh tahun baru persekolahan pasti memerlukan perbelanjaan yang lebih.

Demikianlah sebahagian murid dan pelajar menghadapi musim cuti persekolahan. Sebahagian lagi mungkin berseronok dan membuang masa berhari-hari dengan aktiviti tidak berfaedah. Bagaimana dengan anak-anak kita?

Cuti ini bagi sebahagian guru-guru sebulan rasa macam seminggu. Aktiviti penuh. Kursus, tanda kertas periksa, pengurusan sekolah, kelas tambahan dsb. Jika guru kerajaan barangkali ada elaun untuk tugas-tugas tertentu. Tetapi bagaimanalah nasib guru-guru di sekolah swasta/rakyat ???

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam persaudaraan, mencari kebenaran...