26 Ogos 2015

Catatan Awal Pagi

Assalamualaikum, apa khabar semua?
Ramai yang sudah tidur. Mungkin ada yang baru bangun. Atau ada yang masih bersengkang mata. Apa pun keadaan anda pastikan sentiasa berada dalam kebaikan.

Sifat sabar memerlukan kepada sifat redha dengan segala ketentuan Allah Taala sambil berusaha sungguh hingga tercapai apa yang dihajati. Dalam masa yang sama juga perlu diiringkan tawakkal dan pengharapan kepada Allah Taala. Rangkuman sifat-sifat ini akan menatijahkan sebuah kejayaan samada berjaya beroleh apa yang kita hajati atau berjaya menjadi hamba Allah Taala yang redha dan sabar pada ketentuanNya.


"Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah dan tetapkanlah kesabaran, siap siagalah dan bertaqwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu berjaya". Surah Ali Imran: 200

Didalam ayat yang lain, Allah Taala perintahkan agar orang-orang beriman supaya bersabar dan mendirikan solat.

Mudah-mudahan kita mendapat panduan ini dengan berguna.

11 Ogos 2015

Kenangan Ramadhan dan Syawal 2015

Assalamualaikum w.b.t.

Ini sahajalah beberapa rakaman kenangan sepanjang Ramadhan dan Syawal tahun ini. Jenis dah malas dan segan ambil gambar dan bergambar ni maka ini sahajalah yang ada...









SELAMAT PENGHUJUNG SYAWAL!

HABIS DAH KER PUASA ENAM?

16 Julai 2015

Ramadhan dan Syawwal

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Ramadhan sudah berada di penghujung hari. Sudahkah kita bermuhasabah diri? Membanci segala kerja buat kita sepanjang Ramadhan tahun ini. Bagaimana timbangan antara amal soleh dan toleh kita? Mudahan perbuatan-perbuatan kita yang baik diterima Allah Taala dan segala perbuatan buruk kita diampunkan Allah Taala.

Marilah kita menjadi hamba Allah bukan menjadi hamba Ramadhan. Teruskanlah segala amal kebaikkan kita di bulan mulia ini pada bulan-bulan yang lain. Mohon kepada Allah Taala kurniakan istiqomah kepada kita dalam beribadah kepadaNya. Masa akan terus berlalu tanpa boleh disekat. Justeru, apa sahaja kesempatan waktu yang ada kita isikan dengan perbuatan soleh dan menjauhi diri dari perbuatan toleh. 

1 Syawal yang akan kita raikan sepatutnya membawa bersama tarbiyah Ramadhan. Ditakuti jika pada hari pertama kita meninggalkan Ramadhan sudah hilang kesan tarbiyahnya maka boleh jadi pada hari-hari berikut kesan tarbiyah Ramadhan kian pudar..... lalu hilang. Dan kita menjadi seperti insan yang tidak bertemu Ramadhan pada tahun ini. Malang sekali, selama sebulan kita hanya berlapar dan berdahaga. Usahakanlah agar 1 Syawal diisi dengan pelbagai amal kebaikan dan menjauhi amal kejahatan. Mahkluk-mahkluk pembisik kejahatan sering berada di sekeliling kita, berhati-hatilah. Telitilah setiap langkah dan gerak kita bersama naungan rahmat Allah Taala.

Selamat tinggal Ramadhan. Moga kita bertemu lagi di tahun hadapan dengan kenangan yang lebih indah dan bermakna.

Selamat datang bulan Syawwal. Moga kehadiran mu menjadikan diri kami menepati fitrah insan soleh.

SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
كل عام وأنتم بألف خير


27 Jun 2015

RAMADHAN- Bulan Tarbiyyah


Sudah 10 hari umat Islam menjalani ibadah di bulan Ramadhan pada tahun ini. Masa berlalu sangat cepat. Masa yang lepas tidak dapat diundurkan lagi. 

Apa khabar ibadah kita 10 hari yang pertama Ramadhan ini? Bagaimana jamaah surau dan masjid di kampung, taman dan bandar kita? Bacaan Al-Quran kita masih berterusan setiap hari?

Mudah-mudahan segala amal soleh kita terus berterusan hingga.......MATI. Bukan hanya berhenti di penghujung Ramadhan. Amal soleh kita bukan kerana Ramadhan tetapi kerana Allah Taala. Semoga Allah memberikan istiqomah kepada kita untuk terus mentaati dan beribadah kepadaNya. 

اللهم أعنا على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك  آمين

" Ya Allah, bantulah kami untuk mengingati Mu dan bersyukur kepada Mu serta elokkanlah ibadah kami kepada Mu ".

Bulan Ramadhan merupakan bulan tarbiyah (pendidikan). Iaitu bulan mendidik nafsu, akal, perasaan dan jasmani untuk tunduk dan mengikut segala perbuatan yang baik bertepatan dengan perintah Allah Taala. Perbuatan baik (amal soleh) yang merangkumi empat elemen tersebut tanpa ada pengecualian. Empat elemen tersebut salin kait mengait antara satu sama lain yang menjadikan kita seorang insan bukan haiwan. Namun empat elemen ini tidak mencukupi untuk membentuk diri insan soleh jika tidak ada suatu silibus pendidikan. Silibus pendidikan ini pula tidak sempurna dan akan ada cacat cela jika ia dicerna melalui akal. Silibus pendidikan untuk membentuk insan soleh ini perlu datang dari penguasa yang mencipta dan mentadbir alam ini. Alam adalah segala benda yang wujud selain Allah. Tiada penguasa lain melainkan Allah Taala yang Maha Pencipta dan Pentadbir alam ini yang telah menetapkan kepada kita silibus itu. Bagaimanapun amat malang apabila manusia meninggalkan silibus pendidikan itu di dalam proses kehidupan mereka seharian. Akhirnya umat menjadi hina dan dan takut berhadapan dengan musuh.

Silibus pendidikan tersebut adalah AL-QURAN AL-KARIM. Silibus ini juga telah diturunkan Allah Taala pada bulan pendidikan yang mulia ini. Al-Quran adalah silibus tarbiyah manakala Ramadhan adalah bulan tarbiyah, bulan diturunkan Al-Quran.

RAMADHAN AL-MUBARAK

20 Jun 2015

PUASA RAMADHAN - Ulangkaji

Sebagai seorang muslim yang taat kepada Allah Taala semestinya menerima dan melaksanakan perintah Allah Taala yang mewajibkan kepada hambaNya berpuasa apabila tibanya bulan Ramadhan. Firman Allah Taala yang bermaksud: " Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu; dengan itu mudah-mudahan kamu bertaqwa ". Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan rukun Islam selain Syahadah, solat 5 waktu sehari semalam dan berzakat serta menunaikan haji.

Mari kita ulangkaji beberapa pelajaran berkenaan puasa Ramadhan.

Puasa membawa maksud menahan diri daripada makan, minum, nafsu syahwat dan daripada melakukan sesuatu yang membatalkan puasa; bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat.

Syarat-syarat wajib berpuasa:

1. Orang Islam
2. Sudah dewasa (baligh)
3. Berfikiran waras
4. Mampu berpuasa

Syarat-syarat sah puasa:

1. Orang Islam
2. Orang yang berakal
3. Perempuan yang suci dari haid dan nifas
4. Berniat puasa pada waktu malam
5. Pada hari-hari yang sah berpuasa

Perkara wajib dilakukan oleh orang yang berpuasa ( rukun puasa )

1. Niat pada waktu malam
2. Menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar (Subuh) hingga terbenam matahari (Maghrib).


Perkara-perkara yang membatalkan puasa:

1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka.
2. Makan dan minum.
3. Melakukan persetubuhan dengan sengaja.
4. Muntah dengan sengaja.
5. Gila walaupun sebentar.
6. Pitam sepanjang hari.
7. Berlaku haid, nifas dan wiladah bagi orang perempuan.
8. Mengeluarkan air mani dengan sengaja.
9. Berbuka puasa dalam keadaan syak samada sudah terbenam matahari atau belum.
10. Murtad.

* Haid = Darah yang keluar melalui faraj perempuan yang berumur sekurang-kurangnya 9 tahun. Diwajibkan mandi sebaik sahaja kering haidnya.

* Wiladah = perempuan yang melahirkan anak disertai dengan basah atau tidak. Termasuk juga perempuan yang keguguran.

* Nifas = Darah yang keluar selepas perempuan melahirkan anak. Maka diwajibkan mandi setelah kering darah nifasnya.