22 Januari 2010

Dunia rosak akibat zionis dan penjajah

Khamis 10 Julai 2008 | 6 Rajab 1429 Hijrah

D
ato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Thu | J
ul 10, 08 | 7:00:31 am MYT

Semua di kalangan kita menyedari bahawa dunia Islam terletak dalam kedudukan yang strategik di peta dunia.Negara-negara umat Islam kaya dengan hasil bumi semulajadi yang turut sama memberi sumbangan kepada seluruh dunia. Umat Islam bertebaran di seluruh dunia sama ada di Timur atau Barat.

Mereka merupakan tenaga manusia yang memikul amanah dakwah agama Islam, yang mengajak kepada keamanan , keadilan dan persaudaraan antara sesama manusia. Tenaga kerja umat Islam pula dapat menjana tenaga kerja mahir dalam pasaran global yang luas. Umat Islam juga merupakan umat yang mampu membangunkan tamadun manusia dan mentajdidkannya. Namun kesan dan pengaruh penjajah masih lagi utuh dan teguh.

Situasi ini menghalang usaha murni untuk membangunkan aspek kerohanian dan material umat Islam itu sendiri apatah lagi untuk mambangunkan manusia keseluruhannya supaya mereka menjadi umat yang disebut oleh Allah sebagai umat yang terbaik.

Marilah kita menyedari bahawa Orde baru dunia hari ini adalah merupakan hasil dan cetusan strategi penjajah yang bertujuan untuk membendung kebangkitan Islam dan seterusnya menyekat umat Islam daripada kembali kepada ajaran agama Islam yang menjadi punca keagungan kita.

Negara-negara umat Islam hari ini tidak mempunyai kebebasan dalam menyusun hal ehwal ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan media. Mereka masih dibelenggu oleh peraturan yang ditetapkan oleh penjajah. Namun pada masa ini peraturan-peraturan penjajah itu dilaksanakan oleh anak bangsa kita yang menerajui sistem pemerintahan dan mereka bercakap dengan bahasa kita. Dalam masa yang sama, gerakan Islam yang berjuang untuk membebaskan umat ini daripada cengkaman penjajah terpaksa berdepan dengan berbagai halangan dan rintangan sama ada dari dalam atau luar.

Sekalipun mereka bergerak dengan cara aman seperti menggunakan kaedah demokrasi, kebebasan hak asasi manusia, keadilan dan berbagai syiar yang dimomokkan oleh order baru pada masa ini, gerakan Islam masih dihalang daripada menegakkan syiar-syiar tersebut kecuali dengan syarat mengubah Islam atau mengenepikan asas-asas keimanan dan akhlak sebagaimana yang dikehendaki oleh mereka.

Jika kita mengimbau sejarah umat Islam, kita dapati umat Islam telah berjaya memberikan sumbangan yang besar kepada umat manusia khususnya di zaman keagungan Islam. Islam telah mengemukakan sistem yang terbaik dalam menguruskan sumber manusia sama ada dalam pembentukan individu, sistem pemerintahan, pengurusan ekonomi dan sebagainya.

Islam juga berjaya memberikan definisi yang jelas mengenai nilai-nilai baik, keadilan,
persaudaraan antara sesama manusia dan hak-hak asasi kemanusiaan. Dari sudut yang lain Islam juga berjaya meletakkan manusia sebagai hamba yang mengabdikan diri kepada Allah dan menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Antara keistimewaan Islam adalah kesesuaiannya dengan fitrah dan naluri semula jadi manusia. Oleh itu al-Quran memberikan petunjuk kepada manusia sama ada melalui peraturan-peraturannya atau kisah-kisah yang dipaparkan supaya ia menjadi panduan kepada manusia dalam semua urusan mereka.Islam merupakan agama yang paling sempurna mengatasi segala idealogi dan pemikiran yang dijadikan asas kepada order baru dunia hari ini. Kepincangan dan kelemahan idealogi manusia ini boleh mengancam keamanan dan kestabilan dunia sehingga tersebarnya gejala-gejala buruk dalam masyarakat dan negara. Manusia diancam kebuluran dan ketakutan sehingga akhirnya boleh membawa kepada kemusnahan dan kehancuran.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara-saudara kita di Turki yang telah menganjurkan muktamar tahunan yang menghimpunkan seluruh persatuan-persatuan dan gerakan Islam di seluruh dunia.

Muktamar ini diharap akan dapat menyatukan saf perjuangan umat Islam. Saya juga berharap semoga muktamar ini akan dapat menyelaraskan kerja-kerja ini dengan lebih baik dan teratur supaya kita akan berjaya memimpin umat ini untuk mencapai objektif yang diharapkan dan menyelamatkan umat manusia daripada agama yang menyimpang serta idealogi yang merosakkan. Mudah-mudahan usaha ini akan menyebabkan kita berjaya menjulang tinggi agama Islam yang mulia ini sekalipun ia dibenci oleh orang yang kufur.

Islam sebagai agama yang syumul dan global memerlukan kita bersikap positif dalam menangani isu-isu berkaitan dengan politik, keamanan, ekonomi, akhlak, alam sekitar dan sebagainya. Sungguhpun gerakan Islam disekat daripada bergerak secara bebas kita masih boleh berdepan secara aman dalam negara yang demokrasi. Dari sudut yang lain, kita juga tidak akan berdiam diri terhadap sebarang bentuk kezaliman yang dilakukan secara terang-terangan bagi menghalang kemenangan kita di setiap tempat. Begitu juga kezaliman yang menyekat kemajuan kita dalam bidang sains dan teknologi serta paksaan untuk kita patuh dan tunduk dalam usaha untuk menjajah bumi umat Islam dan menghalang hak-hak kita untuk hidup.

Dalam perayaan memperingati pembukaan kota Istanbul oleh orang-orang Turki yang keluar dari Asia Tengah dengan dipimpin oleh Muhammad al-Fatih r.h. mengingatkan kita kembali bahawa Islam akan memuliakan mereka yang berpegang dengan ajarannya. Sebagaimana Allah telah memuliakan masyarakat Arab yang keluar dari tengah padang pasir dan berjaya menewaskan dua kuasa besar dunia pada masa itu iaitu Rom dan Parsi.

Mereka berjaya memimpin dunia setelah mereka berpegang kepada ajaran Islam. Kita juga akan berjaya memulihkan dunia yang telah dirosakkan oleh golongan Zionis dan penjajah moden ini jika kita kembali kepada Islam kerana kita berada di atas landasan yang benar.

Kebenaran akan terus kekal dan akan mendapat pertolongan daripada Allah SWT. Mereka membuat perancangan-perancangan jahat mereka sedang Allah juga merancang untuk mereka dan ingatlah bahawa Allah tidak akan menyalahi janji kepada para rasul-Nya dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bertindak. - mks.

[Terjemahan intipati ucapan YB Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa berucap di 17th International Congress of Muslim Communities Union, 29 & 30 Mei 2008, Istanbul, Turki. Ucapan diberikan dalam Bahasa Arab]
-------------------------------
Kemenangan umat Islam pasti akan berlaku kerana itu sudah janji Allah dan RasulNya. Apa yang penting adakah kita sedang atau akan tergolong di kalangan mereka yang menyumbang kepada kemenangan itu ??
Kembali kehidupan di bawah petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah akan menjamin kemenangan. Kemenangan kita - berjaya tegakkkan kalimatullah di muka bumi atau
kematian menjemput dalam keadaan kita masih istiqomah atas kebenaran itu.

Sumber: Harakahdaily

4 Januari 2010

Muslim Blogger

Pada zaman kini, penyebaran maklumat samada isu semasa, ilmu pengetahuan, pengiklanan dan sebagainya boleh didapati dengan mudah dan cepat. Kuasa internet telah menjadi tempat kepada masyarakat kini. Ketepatannya pula bergantung kepada sumber maklumat tersebut samada boleh dipercayai atau tidak.

Blog dan web blog antara tempat yang telah menjadi mekanisma penting dalam proses penyebaran maklumat. Jika dahulu perkongisan maklumat melalui internet hanya melalui chatting, e-mail, forum web dan seumpamanya. Namun masyarakat kini lebih gemar menjadikan tapak blog yang pelbagai jenis untuk dijadikan tempat menyebar atau menyalurkan sebarang maklumat. Apatah lagi tapaknya disediakan secara percuma. Melalui blog, para pengguna bukan sahaja boleh menyebarkan maklumat berbentuk teks bahkan video, audio, gambar dan dapat meletakkan pautan bagi web-web dan blog-blog yang lain. Selain itu, para pengunjung boleh bertukar-tukar pandangan dan idea bersama tuanpunya web blog dan pelbagai lagi kelebihan yang terdapat pada web blog.

Seorang penulis di sebuah akhbar tanahair telah mengeluarkan suatu ungkapan berkenaan blog, " Semasa dan selepas era reformasi, blogger politik lahir bagai cendawan tumbuh lepas hujan. Pengunjung warung kopi yang bergelar "Penganalisa, speaker, ahli politik dan wakil rakyat" bertukar tempat. Dari warung ke komputer. Mereka mula mainkan peranan lebih berkesan."

Bukanlah niat penulis untuk menceritakan 'apa itu blog/web blog?' atau kelebihannya dalam tulisan kali ini, tetapi sikap dan tanggungjawab sebagai penulis atau blogger. Apatah lagi kita selaku muslim yang memegang kuat prinsip aqidah, syariat dan akhlak Islam.

Kita boleh mengambil saranan dan peringatan dari beberapa petikan ucapan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam sebuah konvensyen blogger.
------------------
KUALA LUMPUR, 20 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengingatkan para blogger supaya tidak ghairah menyebarkan maklumat yang boleh memecahbelahkan masyarakat biarpun maklumat tersebut difikirkan benar.

Bercakap sewaktu merasmikan konvensyen blogger di Taman Melewar hari ini, Hadi berkata tidak semua yang benar boleh didedahkan apatah lagi jika yang benar itu boleh membawa kepada mudarat yang besar terhadap masyarakat.

"Tak semua fitnah itu bohong, fitnah ada bohong ada benar, tetapi tidak semua fitnah boleh disebar begitu sahaja walaupun ianya benar, benar tapi jahat.

"Kita perlu meletakkan yang benar pada tempat yang betul," katanya.

- Lebih penting katanya, para blogger perlu memahami bagaimana Islam mengajar kita agar teliti dalam setiap penyebaran maklumat mahupun berita.

-"Wajib mengambil peluang dari perkembangan teknologi ini dan perlu di lakukan dengan akhlak," katanya.

- "Tulisan blog boleh menjadi senjata tajam jika diguna untuk membela Islam, tetapi boleh menjadi racun berbisa merosakkan masyarakat jika disalah guna," katanya.
--------------------

Dari itu, amatlah malang umat ini jika suatu platform terbaik yang boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat dan dakwah atau berkongsi ilmu telah disalahgunakan. Dan lebih malang apabila kedapatan blogger muslim yang menggunakan web blog untuk menyebarkan kejahatan dan maksiat. Muslimkah mereka ?!


Rujukan:
1- Wikipedia
2- Harakahdaily