7 Januari 2012

Usrah yang sebenar...jom baca

Oleh: Us. Idris Ahmad

Nizam tarbiah Parti Islam Semalaysia Pas banyak. Antaranya ialah usrah, tamrin, daurah tadribiah, jaulah, rehlah, mukhayyam, qiamullail, majlis ilmu, ziarah, riadhah. Usrah pula menjadi tonggak kepada program tarbiah.  Pengabaian kepada usrah bermakna ia akan membawa kecacatan kepada Pas di masa akan datang. Kerana tanpa usrah maka gerakan akan menjadi jumud dan tidak dapat melahirkan pekerja dan tenaga pelapis. Tanpa usrah yang betul maka tidak akan dapat mencapai matlamat yang perlu ada pada mana-mana gerakan. Segala keputusan akan dapat dilaksanakan dengan baik apabila konsep usrah dipraktikkan dalam gerak kerja jamaah.

Perlu difahami bahawa usrah juga bukan majlis ilmu semata-mata tetapi ia satu majlis untuk meningkatkan komitmen kepada Islam dan memperjuangkan Islam di atas muka bumi ini. Usrah juga merupakan majlis untuk membincang masalah  organisasi dalam jamaah. Kesilapan memahami fungsi usrah menyebabkan perjalanan usrah menjadi lesu dan tidak bermaya dan tidak memberi apa-apa kesan pada peribadi dan juga pergerakan jamaah.

Usrah bermakna keluarga.  Rapatnya hubungan antara anggota usrah menyebabkan kadang-kadang lebih akrab daripada hubungan saudara sekeluarga.

Manakala istilah yang disebut oleh ulamak gerakan ialah kumpulan individu Muslim yang beriman kepada Allah yang berusaha untuk membina fikrah Islam dalam diri dan membina peribadi Muslim, berusaha untuk tolong menolong sesama mereka untuk memahami ajaran Islam dan melaksanakan amanah yang dipikulkan kepada mereka di atas muka bumi ini untuk mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhkan pengabdian kepada manusia dan taghut.

Kesimpulannaya usrah adalah proses untuk mengikat hubungan yang lebih mantap di kalangan ahli jamaah untuk melakukan kerja Islam yang mencabar. Tegur menegur antara sesama ahli dan nasihat menasihat adalah asas kekuatan jamaah. Kemanisan berjamaah akan terasa apabila pelaksanaannya menepati dengan kehendak usrah.

Ketika Pas memulakan kepimpinan ulamak 1982 maka gerakan usrah tumbuh seperti cendawan. Boleh dikatakan setiap ahli Pas mengenali usrah, sehingga melahirkan individu yang berkualiti walaupun bilangan mereka sedikit. Boleh dikatakan setiap cawangan ada markaz, hasil daripada suntikan usrah sehingga melahirkan pengorbanan yang tinggi. Malahan antara sebab yang menjadi penyebab kepada desakan supaya Pas membawa gagasan kepimpinan ulamak ialah apabila order lama yang tidak berapa selesa dengan istilah usrah. Mereka hanya hendak menjadikan Pas sebagai sebuah parti politik semata-mata, sedangkan mereka lupa Pas sebagai gerakan Islam dan gerakan politik. Ketika itu muncul tokoh-tokoh tarbiah di dalam Pas seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Almarhum Ustaz Fadhil Mohd Nor, Ustaz Yahya Osman, Almarhum Ustaz Hasan Shukri. Tokoh-tokoh ini cuba meletakkan Pas sebagai landasan yang betul supaya ada perbezaan dengan lawannya Umno pada ketika itu. Sebelumnya tidak banyak beza dari segi shakhsiah dan pakaian ahli Pas dengan ahli Umno, Cuma yang berbeza ialah ideologi poitik ketika menjelang pilihanraya umum. Waktu itu muslimat yang berjubah dan bertudung labuh di merata tempat. Lelaki pula yang berjubah dan berserban.

Pengalaman saya turun mengadakan muzakarah tarbiah di peringkat negeri-negeri yang  melibatkan peserta daripada semua Lajnah Tarbiah kawasan-kawasan amat menduka citakan. Umumnya apabila ditanya kepada kawasan-kawasan, hanya 30 peratus sahaja usrah di cawangan-cawangan berjalan.

Jika trend ini berlaku ia tidak baik kepada masa depan Pas, terutama dari sudut perkaderan, pembinaan syaksiah ahli dan gerak kerja jamaah terutama persiapan menghadapi pilihanraya.

Usrah di peringkat cawangan amat perlu dilaksanakan, kerana kekuatan Pas terletak di cawangan-cawangan. Jika usrah berjalan dengan baik, tidak timbul soal penculaan di setiap lokaliti tidak berjalan. Malahan daftar pemilih juga tidak menjadi kalut, kerana setiap minggu perkara ini akan diperingatkan oleh naqib di dalam setiap kali pertemuan kepada semua ahli keluarga yang belum lagi mendaftar. Ertinya banyak perkara di dalam organisasi dapat diselesaikan.

Selalu persoalan yang ditimbulkan oleh cawangan-cawangan, mereka tidak ada naqib. Maka dengan sebab itu usrah tidak berjalan. Jawapan saya kepada mereka jangan menjadi alasan untuk tidak membuat usrah. Perkara yang penting ialah pertemuan mingguan. Mereka boleh melaksanakan sendiri,  dengan membaca Yasin, solat hajat dan isi dengan tazkirah tulisan pimpinan Pas seperti tulisan Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Harun Taib dan buku keluaran Lajnah Tarbiah Pas Pusat. Cukup sekadar membaca di dalam dua muka surat tanpa huraian (kalau mampu lebih baik) kemudian boleh berbincang dengan ahli mengenai organisasi, kebajikan ahli dan sebagainya. Apa yang penting ialah pertemuan supaya ukhwah terjalin dengan kukuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam persaudaraan, mencari kebenaran...