Pada zaman kini, penyebaran maklumat samada isu semasa, ilmu pengetahuan, pengiklanan dan sebagainya boleh didapati dengan mudah dan cepat. Kuasa internet telah menjadi tempat kepada masyarakat kini. Ketepatannya pula bergantung kepada sumber maklumat tersebut samada boleh dipercayai atau tidak.
Blog dan web blog antara tempat yang telah menjadi mekanisma penting dalam proses penyebaran maklumat. Jika dahulu perkongisan maklumat melalui internet hanya melalui chatting, e-mail, forum web dan seumpamanya. Namun masyarakat kini lebih gemar menjadikan tapak blog yang pelbagai jenis untuk dijadikan tempat menyebar atau menyalurkan sebarang maklumat. Apatah lagi tapaknya disediakan secara percuma. Melalui blog, para pengguna bukan sahaja boleh menyebarkan maklumat berbentuk teks bahkan video, audio, gambar dan dapat meletakkan pautan bagi web-web dan blog-blog yang lain. Selain itu, para pengunjung boleh bertukar-tukar pandangan dan idea bersama tuanpunya web blog dan pelbagai lagi kelebihan yang terdapat pada web blog.
Seorang penulis di sebuah akhbar tanahair telah mengeluarkan suatu ungkapan berkenaan blog, " Semasa dan selepas era reformasi, blogger politik lahir bagai cendawan tumbuh lepas hujan. Pengunjung warung kopi yang bergelar "Penganalisa, speaker, ahli politik dan wakil rakyat" bertukar tempat. Dari warung ke komputer. Mereka mula mainkan peranan lebih berkesan."
Bukanlah niat penulis untuk menceritakan 'apa itu blog/web blog?' atau kelebihannya dalam tulisan kali ini, tetapi sikap dan tanggungjawab sebagai penulis atau blogger. Apatah lagi kita selaku muslim yang memegang kuat prinsip aqidah, syariat dan akhlak Islam.
Kita boleh mengambil saranan dan peringatan dari beberapa petikan ucapan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam sebuah konvensyen blogger.
------------------
KUALA LUMPUR, 20 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mengingatkan para blogger supaya tidak ghairah menyebarkan maklumat yang boleh memecahbelahkan masyarakat biarpun maklumat tersebut difikirkan benar.
Bercakap sewaktu merasmikan konvensyen blogger di Taman Melewar hari ini, Hadi berkata tidak semua yang benar boleh didedahkan apatah lagi jika yang benar itu boleh membawa kepada mudarat yang besar terhadap masyarakat.
"Tak semua fitnah itu bohong, fitnah ada bohong ada benar, tetapi tidak semua fitnah boleh disebar begitu sahaja walaupun ianya benar, benar tapi jahat.
"Kita perlu meletakkan yang benar pada tempat yang betul," katanya.
- Lebih penting katanya, para blogger perlu memahami bagaimana Islam mengajar kita agar teliti dalam setiap penyebaran maklumat mahupun berita.
-"Wajib mengambil peluang dari perkembangan teknologi ini dan perlu di lakukan dengan akhlak," katanya.
- "Tulisan blog boleh menjadi senjata tajam jika diguna untuk membela Islam, tetapi boleh menjadi racun berbisa merosakkan masyarakat jika disalah guna," katanya.
--------------------
Dari itu, amatlah malang umat ini jika suatu platform terbaik yang boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat dan dakwah atau berkongsi ilmu telah disalahgunakan. Dan lebih malang apabila kedapatan blogger muslim yang menggunakan web blog untuk menyebarkan kejahatan dan maksiat. Muslimkah mereka ?!
Rujukan:
1- Wikipedia
2- Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam persaudaraan, mencari kebenaran...