Rabu 13 Mei 2009 | 18 Jamadil Awal 1430 Hijrah
Taubat yang syaratnya gagal dipenuhi
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Fri | May 08, 09 | 1:02:22 pm MYT
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa yang beristighfar dengan sebanyak-banyaknya, Allah SWT akan bebaskan mereka daripada sebarang kesusahan, akan mendapat rezeki yang tidak diduga daripada sumber itu serta mendapat jalan penyelesaian daripada sebarang kerunsingan." Orang yang tidak ditimpa runsing dalam kehidupannya, adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT.
Berapa ramai manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi tidak sunyi daripada dilanda runsing. Kekadang kehidupan seseorang sederhana sahaja tetapi mereka aman daripada sebarang kerunsingan jiwa dan fikirannya.
Jika berikhtiar menghilangkan kerunsingan dengan bukan jalan Allah SWT, seperti dengan berhibur yang melampau, maka usaha itu seperti menghilangkan gatal dengan menggaru akan hilang gatal sejenak. Dengan menggaru boleh menyebabkan calar berdarah bertukar jadi kudis.
Apabila kuman yang menyebabkan kegatalan aktif semula, maka gatal akan muncul kembali malah lebih parah lagi dengan munculnya kudis akibat luka digaru.
Fadilat beristighfar ialah Allah SWT akan memberi jalan penyelesaian daripada sebarang kesempitan, sama ada kesulitan hidup di dunia berbentuk kebendaan atau pemikiran dan perasaan.
Fadilatnya lagi ialah dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga. Lebih istimewa lagi jika rezeki datang mecurah pada saat amat diperlukan. Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya aku seorang Nabi memohon ampun dosa (istighfar) kepada Allah SWT, setiap hari sebanyak 70 kali." Meskipun Nabi s.a.w. maksum (dikawal) dosa oleh Allah SWT, namun baginda tetap memohon ampun sebanyak 70 kali saban hari.
Apakah tujuan Nabi s.a.w. mohon ampun kepada Allah SWT dalam keadaan maksum. Tujuannya ialah untuk mentarbiyah umatnya supaya tidak mengabaikan istighfar mohon supaya Tuhan ampuni dosanya.
Jika Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar 70 kali, umatnya sebagai insan biasa yang bergelumang dosa, secara logiknya mestilah mohon ampun kepada Allah SWT setiap hari lebih daripada yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. itu. Bagi Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar itu bukanlah untuk mohon ampun dosa, tetapi istighfar Nabi s.a.w. ialah mohon ampun daripada perkara yang dikira silap. Ini kerana amalan baik bagi orang yang jujur (abrar) itu, masih dikira sesuatu yang buruk bagi golongan 'muqorrobin' seperti golongan para nabi itu.
Contohnya, jika melakukan solat fardu didahului dan diiringi dengan solat rawatib, juga mendirikan solat malam tahjud empat rakaat dan tiga rakaat witir, jika boleh kekalkan sudah dikira termasuk golongan 'abrar'. Tetapi sekadar itu tidak layak bagi golongan para anbiya, ia dikira berdosa bagi golongn muqarrabin jika ibadatnya sekadar itu.
Adapun istighfar yang sering diucapkan oleh Nabi s.a.w. seperti berikut: "Allahummaghfirli ma qaddamtu wama akhkhartu wama asrartu wama a'alantu wama Anta a'alamu bihi minni wa Antal muqaddimu wa Antal muakhkhir wa Anta 'ala kulli syai-in qadir."
Ia bermaksud: "Wahai Tuhan, ampunilah dosaku yang terdahulu dan dosa kemudian yang belum dilakukan, dosa yang kulakukan secara sulit tersembunyi dan dosa yang kulakukan secara terbuka, sebanyak mana yang Engkau ketahui. Sesungguhnya atas Engkau Yang Berkuasa penuh atas segala sesuatu."
Seorang ulama bernama Fudhul bin Akhyar berkata mengenai istighfar katanya: "Bahawa minta ampun dalam keadaan tidak menghentikan daripada berbuat dosa itu adalah taubat seorang pendusta."
Apabila seseorang beristighfar bererti dia mohon ampun kepada Allah SWT, apa ertinya dia mohon ampun kalau terus melakukan dosa maksiat. Sedangkan syarat taubat ialah insaf dan menyesal, bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Sangat pembohong bagi seorang yang mohon ampun kepada Tuhan, tetapi tidak berhasrat uantuk meninggalkan dosa dan menyesalinya. Perbuatan itu umpama orang solat dengan memakai kain yang tercemar dengan najis, setelah dia sedar lalu digantinya dengan kain baru, sayangnya kain baru itu adalah kain curi. Dia tinggalkan dosa diganti dengan dosa yang lain pula. Apakah ertinya itu jika dia tidak sedar sedang menipu diri sendiri?
Seorang wali besar yang masyhur dalam sejarah Islam, seorang wanita bernama Rabi'ah Al-'Adawiyyah berkata: "Sesungguhnya minta ampun bukan sekadar kerana berdosa, tetapi istighfar kerana kesalahan minta ampun daripada taubat yang tidak memenuhi syarat taubat itu."
Ertinya adalah dianggap satu dosa bagi orang minta ampun (istighfar) dalam keadaan dia tetap melakukan dosa, kerana sepatutnya dia menyesal serta berazam untuk tidak lakukannya lagi.
Beristighfar dalam keadaan demikian bererti dia sedang berdusta, seolah-olah mempermain-main dengan Allah SWT dengan istilah taubat.
Bertaubat dalam suasana demikian lebih buruk daripada melakukan dosa yang sebenar, kerana taubat seperti itu merupakan suatu dosa yang perlu bertaubat semula kerana bertaubat yang menyalahi syarat taubat. Inilah taubat manusia pendusta terhadap Tuhan. - lanh _
Sumber: Harakahdaily.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam persaudaraan, mencari kebenaran...