Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Segala pujian hanya untuk Allah. Salawat dan salam buat junjungan baginda Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda, para sahabat, tabiin dan mukmin yang benar-benar mengikut jejak langkah mereka.
Daripada Abi Hurairah radhiya Allahu anhu (r.a.), beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:"Demi Allah sesungguhnya aku memohon keampunan kepada Allah dan aku bertaubat kepadaNya dalam sehari lebih dari 70 kali". -Riwayat al-Bukhori.
Daripada al-Aghor bin Yasar al-Muzanni r.a., beliau berkata:Rasulullah s.a.w. bersabda:"Wahai manusia, bertaubatlah kamu semua kepada Allah, maka sesungguhnya aku bertaubat kepadaNya dalam sehari 100 kali". -Riwayat Muslim.
Para alim ulama' telah berpendapat bahawa: Taubat daripada segala dosa itu suatu kewajipan. Jika maksiat atau kesalahan itu di antara hamba dengan Allah S.W.T. tidak berkait dengan hak anak Adam, maka syarat taubat itu tiga:
1- Berhenti dari melakukan maksiat tersebut
2- Dia menyesal atas perbuatannya
3- Dia berazam tidak kembali mengulangi maksiat itu selama-lamanya
Jika hilang atau tiada salah satu syarat tersebut tidaklah sah taubatnya.
Dan jika maksiat atau kesalahan hamba itu berkait dengan hak anak Adam, maka syarat-syarat taubat itu menjadi empat syarat dengan satu lagi tambahan iaitu dia melepaskan (menyerahkan semula) hak kepada tuannya. Jika hak itu berbentuk harta atau seumpamanya perlulah dikembalikan semula. Jika hak itu berbentuk hukuman qazaf dan seumpamanya dia perlulah minta balasan daripada tuan itu atau meminta kemaafannya. Dan jika dia ada mengumpat mintalah halal daripada insan yang dia umpat.
Wajib atas seseorang itu bertaubat atas semua dosa-dosanya, jika dia bertaubat sebahagian sahaja dari dosanya maka dosa itu sahajalah yang akan terhapus sedangkan dosa yang dia tidak mohon taubat masih kekal.
Maksud firman Allah Taala:"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudianlah hendaklah kamu bertaubat (kembali taat kepadaNya)". -Surah Hud:3
Rujukan:
- Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyadhus Solihin
- Tafsir Pimpinan Ar-Rahman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam persaudaraan, mencari kebenaran...