2 Mei 2011

Hiburan- Biar ada batasnya

ADAB BERHIBUR 
Antara matlamat utama manusia ini dicipta oleh Allah SWT adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya seperti yang firmankan oleh Allah: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
(surah Az Zariyyat :56)

Maka menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan setiap aktiviti kita termasuk berhibur sentiasa berada di dalam ruang lingkup beribadah kepada Allah SWT. Tujuan garis panduan ini disediakan adalah untuk memberi panduan kepada para penganjur hiburan agar program hiburan yang dijalankan tidak menyalahi syara’ dan tersasar dari tujuan beribadah kepada Allah SWT.

ISLAM DAN HIBURAN Islam adalah satu cara hidup yang sangat meraikan dan tidak pernah sekali-kali menyekat naluri fitrah manusia termasuklah berhibur seperti mendengar muzik, bunyi-bunyian dan nyanyian asalkan sahaja hiburan itu tidak menyalahi hukum-hukum syara’.

GARIS PANDUAN MENGADAKAN ACARA KONSERT / PERSEMBAHAN DAN HIBURAN DALAM ISLAM

1- Hendaklah dipastikan muzik / lagu / skrip yang tidak mempunyai perkataan yang boleh membawa ke arah bertentangan dengan aqidah seperti menyalahi syariat Allah SWT, memburuk-burukkan Rasulullah SAW, melekehkan para sahabat, meragui hari kiamat dan pembalasan dosa pahala juga tiada unsur memuja atau taksub kepada wanita.

Allah SWT memberi peringatan kepada sesiapa yang meragui kebenaran hari kiamat dengan firmannya: “Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya - supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan. Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa”. (surah Taaha : 15-16)

2- Suatu persembahan / konsert yang dijalankan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak Allah dan kewajipan yang lain terabai seperti menunaikan ibadah, hak mencari dan memberi nafkah, menuntut ilmu dan sebagainya.

“Tidaklah ada diantara orang Muslim jika tiba waktu solat wajib, lalu dia membaguskan wudhuknya, kekhusyukannya, dan ruku'nya melainkan solat itu menjadi penebus dosa-dosa sebelumnya, selagi dia tidak mengerjakan dosa besar, dan itu berlaku selamanya”. (Hadis Riwayat Muslim)

3- Muzik atau nyanyian yang disampaikan tidak mempunyai senikata lagu berunsur maksiat dan lagho seperti membawa kepada rangsangan ghairah nafsu melalui tema-tema cinta yang melampau, luahan perasaan dan kerinduan yang berlebihan kepada manusia sehingga mendorong pendengar dan remaja kepada melakukan maksiat dan dosa.

Oleh itu nyanyian sebegini hendaklah dijauhi berdasarkan firman Allah seperti berikut:
“Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia (lagha), mereka berpaling daripadanya.” (surah Al Qasas : 55)

“Sesungguhnya Allah telah menentukan bahagian seseorang tentang zina yang tidak mustahil didapatinya. Maka zina mata adalah memandang, zina lidah adalah mengucapkan, zina hati adalah mengingini dan faraj (kemaluan) membenarkan atau mendustakannya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4- Hendaklah hiburan tidak diiringi atau dialunkan dengan instrument bunyian terlampau seperti budaya rock sehingga penonton / pendengar mengikut rentak (melompat-lompat, menjerit dan bersorak) menjatuhkan akhlak mereka dan mendatangkan fitnah kepada diri mereka.

5- Penyanyi, pembuat persembahan dan penonton yang hadir hendaklah menjaga auratnya, tidak melakukan gerak badan yang memberahikan ataupun mempersembahkan nyanyian dengan suara lucah yang menyebabkan fitnah dan rangsangan nafsu kotor dikalangan pendengar / penonton. Sekalipun lagu dan senikata yang disampaikan adalah baik, dalam keadaan ini ianya tetap menjadi haram.

Allah swt berfirman berkenaan tuntutan menutup aurat: “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan.” (surah Al A'raf : 26)

Rasulullah saw juga memberi amaran kepada wanita yang tidak menutup aurat mereka: “Sebahagian dari penghuni neraka ialah perempuan yang memakai pakaian yang menyerupai telanjang, pakaian yang sesat dan menyesatkan. Mereka tidak masuk ke syurga dan tidak mencium baunya.” (Hadis Riwayat Muslim)

“Apabila umatku melakukan 15 perkara maka mereka layak untuk menerima bala Allah. Antara 15 perkara itu ialah…. orang ramai menjadikan wanita sebagai penyanyi (penari-penari), alat-alat yang melalaikan (muzik).” (Hadis Riwayat Tarmidzi)

6- Hendaklah dipastikan tiada percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sekatan dan had hingga membawa kepada bersentuhan antara lelaki wanita ajnabi, tiada majlis tari-menari, tidak berlakunya acara minum arak, pertaruhan judi, tiada drama /lakonan-lakonan liar dan seumpamanya.

Rasulullah saw bersabda dalam hal pergaulan lelaki wanita ajnabi ini: “Sekiranya ditikam di kepala seseorang kamu dengan sebatang besi adalah lebih baik baginya dari menyentuh kulit wanita yang tidak halal untuk disentuh.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

7- Penyanyi tersebut hendaklah dari kalangan lelaki jika penontonnya adalah lelaki dan wanita manakala jika persembahan itu tertutup dan semua yang berkait dengannya adalah wanita maka dibolehkan penyanyi itu dari kalangan wanita. Ini adalah bagi mengelak segala fitnah dan punca kerosakan dari suara wanita dan pergerakan manja wanita yang menggoda.

Firman Allah SWT: “Maka janganlah kamu wahai wanita berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (surah Al Ahzab : 32)

Dan Rasulullah SAW juga bersabda: “Daripada Abu Malik al-Asy’ari daripada Nabi saw bersabda; Beberapa orang daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka dan dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan babi.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

PERINGATAN Syaitan selalunya mengambil peluang dari hiburan yang melalaikan untuk menyesatkan dan melaghakan manusia. Allah SWT berfirman: “Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.” (surah Al Lukman :6)

Bertitik-tolak dari itulah, satu garis panduan berkenaan hiburan disusun supaya kehalusan seni hiburan yang digariskan Islam itu dapat direalitikan. KESIMPULAN Industri hiburan dan nyanyian yang harus dalam Islam adalah sesuatu yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia, menghibur dan memberikan ketenangan kepada jiwa disamping mematuhi adab-adab Islam.

Ini menuntut kesedaran yang tinggi dari pemuzik dan penggiat seni Muslim supaya membentuk industri hiburan tersendiri dan terpisah daripada pengaruh jahat Kuffar. Sebarang percubaan Kuffar untuk menghanyutkan umat Islam ke arah kemaksiatan, kemudharatan dan kefasikan mestilah dihalang beracukan penetapan dan susur galur Al Quran dan Sunnah Rasul SAW.

Sumber: ILuvISLAM

21 April 2011

Kalau Dr. Abdul Aziz Bari kata....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemuraha Lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum w.b.t.

Selesai sahaja pilihanraya Negeri Sarawak timbul pula cerita agak panas-panas goreng pisang, apabila Prof. Dr. Abdul Aziz Bari membuat kenyataan supaya Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar dari jawatan tersebut. Atas alasan siri-siri kekalahan PAS dalam pilihanraya kecil. Itu pandangan peribadi beliau tetapi tiada kesan pada mereka yang setia dengan perjuangan yang di bawa oleh PAS.

Sepatutnya Dr. Abdul Aziz Bari mengeluarkan kenyataan secara besar-besaran di sidang media supaya BN perlu ditumbangkan atau D.S. Najib ditukarkan dari jawatan selaku PM, itupun kalau beliau mahir sangat dengan perlembagaan. Tetapi apa sangat faedahnya jika tidak berjiwa rakyat. Sedang beliau pun tahu kezaliman-kezaliman BN seperti rampasan licik negeri Perak dan termasuklah yang terbaru konspirasi video yang dikaitkan dengan DSAI.

Apa kata TG Nik Abdul Aziz Nik Mat...

Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS.

Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya.

Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik.

Namun, perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihanraya.

Sememangnya memenangi pilihanraya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihanraya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi.

Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS. Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar? Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar?

Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT.
Sekian, wassalam.

YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

Rujukan: Harakahdaily

15 April 2011

Rakyat Sarawak bawa perubahan!

Rayuan kepada rakyat Sarawak

Ditulis oleh Presiden PAS
Rabu, 13 April 2011 14:00

Saya percaya bahawa sudah tiba masanya untuk seluruh pengundi di Sarawak, yang mengandungi berbagai resam budaya dan etnik, agama, untuk bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat bagi melakukan satu perubahan yang jelas dalam pilihan raya kali ini dengan satu mesej yang paling jelas, iaitu : Marilah Kita Berubah Dengan Menolak Barisan Nasional (BN) Dalam Pilihan Raya Kali Ini.

Cukuplah negeri Sarawak yang kaya dengan hasil bumi ini dipergunakan oleh BN selama puluhan tahun dengan meminggirkan rakyat sejak sekalian lama.

Janji dan rasuah politik oleh BN sepanjang tempoh pilihan raya ini akan terus diulang-ulang oleh pemimpin BN untuk mereka mengekalkan kuasa dan seterusnya mengumpulkan kekayaan untuk diri mereka sendiri.

Akhirnya nasib rakyat masih tidak berubah sejak puluhan tahun ini. PAS akan memastikan konsep Federalisma terus dipelihara, dan perpaduan kaum akan menjadi keutamaan di negeri Sarawak ini.

PAS merayu kepada pengundi di Sarawak untuk memilih calon dari PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kali ini. PAS akan memastikan wakil rakyat dari PAS nanti akan berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada rakyat, membawa aduan dan suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk melakukan sau perubahan bersama rakyat Sarawak.

Sekiranya menang di DUN Beting Maro, Sadong Jaya, Tanjung Datu, Muara Tuang dan Sebuyau dalam pilihanraya kali ini, PAS akan memastikan kawasan ini dibela dengan menjadikan DUN ini sebagai kawasan contoh di Malaysia, di mana seluruh petugas PAS akan menyumbang tenaga secara langsung di sini nanti.

Di sinilah nanti PAS akan menunjukkan contoh Keadilan Islam Untuk Semua Golongan di negeri Sarawak tanpa mengira anutan agama dan keturunan. Itulah sebenarnya wajah Islam yang ingin kami bawa.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS.

Web Presiden PAS

8 April 2011

6 April 2011

Jangan terperangkap

KUCHING, 5 April: Petugas PAS diingatkan agar jangan membazirkan masa untuk menjawab dan terperangkap dengan isu remeh yang dirancang oleh lawan sempena pilihan raya negeri Sarawak.

“Dalam masa yang sama, jangan sekali-kali kita membiarkan kepayahan dalam melaksanakan tugas kita mengganggu tugas dan amanah kita dalam pilihan raya kali ini,” ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya PAS mengajak seluruh petugas, ahli dan penyokong PAS dalam Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-10 untuk memfokuskan kepada gerak kerja mendekati pengundi dan seterusnya mengajak mereka untuk membuat perubahan bersama PAS dan Pakatan Rakyat.
Moga Allah mempermudahkan segala urusan...
Katanya, kepada seluruh petugas pilihan raya yang diamanahkan menjalankan tugas gerak kerja pilihan raya ini, janganlah berlengah lagi untuk turun membantu.

Ini, ujarnya kerana kerja buat dalam pilihan raya ini adalah satu jihad yang sangat besar ertinya kepada perjuangan PAS itu sendiri.

Beliau juga ingin memperingatkan kepada semua bahawa sepanjang tempoh berkempen dan pilihan raya ini sudah tentunya fokus PAS dan Pakatan Rakyat akan cuba dipesongkan menerusi provokasi, fitnah dan pembohongan yang diaturkan sebegitu rupa melalui media cetak dan televisyen sepanjang masa.

“Jangan sekali-kali kita terpedaya dengan permainan lawan kita, dan biarlah mereka pula yang mengikut rentak kita yang bersama dengan rakyat.

“Mesej yang ingin kita sampaikan kepada pengundi mestilah jelas dan mudah difahami oleh pengundi,” katanya lagi. - Harakahdaily

Sumber: Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man