29 Disember 2014

Sekolah dan banjir

Lebih kurang seminggu lagi pelajar-pelajar akan memulakan sesi baru persekolahan bagi tahun 2015. Sudah pasti sebahagian ibubapa dan pelajar-pelajar sendiri sudah mula membanjiri pasaraya-pasaraya dan bazar untuk membeli kelengkapan persekolahan. Set pakaian sekolah, alat tulis, buku dan sebagainya. Sebahagian ibubapa tidaklah membeli semua kelengkapan sempurna, membeli mengikut keperluan. Ekonomi kini menuntut individu dan sesebuah keluarga itu berjimat - cermat.Pakaian dan alatan yang lama tetapi masih sesuai digunapakai tidak perlu ditukar baru. Dengan demikian tidaklah membazir. Berjimat-cermat sifat mulia, tidak membazir pun sifat yang mulia. Dah dapat dua kemuliaan. Tetapi jangan tunggu keadaan 'tidak mampu' sahaja baru nak mengamalkan dua sifat mulia ini.

Dalam kesibukan kita membeli-belah barangan keperluan keluarga dan persekolahan anak-anak, jangan kita lupa nasib buruk dan musibah yang menimpa atas saudara-saudara kita di beberapa buah negeri. Banjir, hujan lebat berhari-hari, angin kencang dan sebagainya telah melanda di beberapa buah negeri di Malaysia. Negeri Kelantan adalah yang terburuk dilanda bah besar kali ini. Banyak kemusnahan harta awam dan kerajaan yang dialami termasuk beberapa nyawa terkorban. Bagaimanakah nasib mereka sekeluarga menghadapi situasi itu? Berapa lama mereka perlu tinggalkan rumah masing-masing? Bagaimana pula kehidupan mereka setelah banjir reda nanti? Tempat tinggal, pakaian, makanan, kenderaan, pekerjaan, persekolahan dan sebagainya? Musibah ini sebagai peringatan untuk kita semua dan mereka akan azab Allah serta menginsafi dosa-dosa kita. Semoga Allah Taala merahmati dan menambah ganjaran pahala kepada mereka dengan ujian yang menimpa ini. Selain itu,sumbangkanlah juga sedikit tenaga, harta dan mohonkanlah doa yang berterusan untuk mereka.

Gambar dari: shafiqalbu