12 Julai 2009

Taubat yang syaratnya gagal dipenuhi

Rabu 13 Mei 2009 | 18 Jamadil Awal 1430 Hijrah

Taubat yang syaratnya gagal dipenuhi
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Fri | May 08, 09 | 1:02:22 pm MYT


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa yang beristighfar dengan sebanyak-banyaknya, Allah SWT akan bebaskan mereka daripada sebarang kesusahan, akan mendapat rezeki yang tidak diduga daripada sumber itu serta mendapat jalan penyelesaian daripada sebarang kerunsingan." Orang yang tidak ditimpa runsing dalam kehidupannya, adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT.

Berapa ramai manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi tidak sunyi daripada dilanda runsing. Kekadang kehidupan seseorang sederhana sahaja tetapi mereka aman daripada sebarang kerunsingan jiwa dan fikirannya.

Jika berikhtiar menghilangkan kerunsingan dengan bukan jalan Allah SWT, seperti dengan berhibur yang melampau, maka usaha itu seperti menghilangkan gatal dengan menggaru akan hilang gatal sejenak. Dengan menggaru boleh menyebabkan calar berdarah bertukar jadi kudis.
Apabila kuman yang menyebabkan kegatalan aktif semula, maka gatal akan muncul kembali malah lebih parah lagi dengan munculnya kudis akibat luka digaru.

Fadilat beristighfar ialah Allah SWT akan memberi jalan penyelesaian daripada sebarang kesempitan, sama ada kesulitan hidup di dunia berbentuk kebendaan atau pemikiran dan perasaan.

Fadilatnya lagi ialah dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga. Lebih istimewa lagi jika rezeki datang mecurah pada saat amat diperlukan. Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya aku seorang Nabi memohon ampun dosa (istighfar) kepada Allah SWT, setiap hari sebanyak 70 kali." Meskipun Nabi s.a.w. maksum (dikawal) dosa oleh Allah SWT, namun baginda tetap memohon ampun sebanyak 70 kali saban hari.

Apakah tujuan Nabi s.a.w. mohon ampun kepada Allah SWT dalam keadaan maksum. Tujuannya ialah untuk mentarbiyah umatnya supaya tidak mengabaikan istighfar mohon supaya Tuhan ampuni dosanya.

Jika Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar 70 kali, umatnya sebagai insan biasa yang bergelumang dosa, secara logiknya mestilah mohon ampun kepada Allah SWT setiap hari lebih daripada yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. itu. Bagi Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar itu bukanlah untuk mohon ampun dosa, tetapi istighfar Nabi s.a.w. ialah mohon ampun daripada perkara yang dikira silap. Ini kerana amalan baik bagi orang yang jujur (abrar) itu, masih dikira sesuatu yang buruk bagi golongan 'muqorrobin' seperti golongan para nabi itu.

Contohnya, jika melakukan solat fardu didahului dan diiringi dengan solat rawatib, juga mendirikan solat malam tahjud empat rakaat dan tiga rakaat witir, jika boleh kekalkan sudah dikira termasuk golongan 'abrar'. Tetapi sekadar itu tidak layak bagi golongan para anbiya, ia dikira berdosa bagi golongn muqarrabin jika ibadatnya sekadar itu.

Adapun istighfar yang sering diucapkan oleh Nabi s.a.w. seperti berikut: "Allahummaghfirli ma qaddamtu wama akhkhartu wama asrartu wama a'alantu wama Anta a'alamu bihi minni wa Antal muqaddimu wa Antal muakhkhir wa Anta 'ala kulli syai-in qadir."

Ia bermaksud: "Wahai Tuhan, ampunilah dosaku yang terdahulu dan dosa kemudian yang belum dilakukan, dosa yang kulakukan secara sulit tersembunyi dan dosa yang kulakukan secara terbuka, sebanyak mana yang Engkau ketahui. Sesungguhnya atas Engkau Yang Berkuasa penuh atas segala sesuatu."

Seorang ulama bernama Fudhul bin Akhyar berkata mengenai istighfar katanya: "Bahawa minta ampun dalam keadaan tidak menghentikan daripada berbuat dosa itu adalah taubat seorang pendusta."

Apabila seseorang beristighfar bererti dia mohon ampun kepada Allah SWT, apa ertinya dia mohon ampun kalau terus melakukan dosa maksiat. Sedangkan syarat taubat ialah insaf dan menyesal, bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Sangat pembohong bagi seorang yang mohon ampun kepada Tuhan, tetapi tidak berhasrat uantuk meninggalkan dosa dan menyesalinya. Perbuatan itu umpama orang solat dengan memakai kain yang tercemar dengan najis, setelah dia sedar lalu digantinya dengan kain baru, sayangnya kain baru itu adalah kain curi. Dia tinggalkan dosa diganti dengan dosa yang lain pula. Apakah ertinya itu jika dia tidak sedar sedang menipu diri sendiri?

Seorang wali besar yang masyhur dalam sejarah Islam, seorang wanita bernama Rabi'ah Al-'Adawiyyah berkata: "Sesungguhnya minta ampun bukan sekadar kerana berdosa, tetapi istighfar kerana kesalahan minta ampun daripada taubat yang tidak memenuhi syarat taubat itu."

Ertinya adalah dianggap satu dosa bagi orang minta ampun (istighfar) dalam keadaan dia tetap melakukan dosa, kerana sepatutnya dia menyesal serta berazam untuk tidak lakukannya lagi.
Beristighfar dalam keadaan demikian bererti dia sedang berdusta, seolah-olah mempermain-main dengan Allah SWT dengan istilah taubat.

Bertaubat dalam suasana demikian lebih buruk daripada melakukan dosa yang sebenar, kerana taubat seperti itu merupakan suatu dosa yang perlu bertaubat semula kerana bertaubat yang menyalahi syarat taubat. Inilah taubat manusia pendusta terhadap Tuhan. - lanh _

Sumber: Harakahdaily.net

2 Julai 2009

Taubat - Mengembalikan diri kepada Allah Taala


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Segala pujian hanya untuk Allah. Salawat dan salam buat junjungan baginda Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda, para sahabat, tabiin dan mukmin yang benar-benar mengikut jejak langkah mereka.

Daripada Abi Hurairah radhiya Allahu anhu (r.a.), beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:"Demi Allah sesungguhnya aku memohon keampunan kepada Allah dan aku bertaubat kepadaNya dalam sehari lebih dari 70 kali". -Riwayat al-Bukhori.

Daripada al-Aghor bin Yasar al-Muzanni r.a., beliau berkata:Rasulullah s.a.w. bersabda:"Wahai manusia, bertaubatlah kamu semua kepada Allah, maka sesungguhnya aku bertaubat kepadaNya dalam sehari 100 kali". -Riwayat Muslim.

Para alim ulama' telah berpendapat bahawa: Taubat daripada segala dosa itu suatu kewajipan. Jika maksiat atau kesalahan itu di antara hamba dengan Allah S.W.T. tidak berkait dengan hak anak Adam, maka syarat taubat itu tiga:
1- Berhenti dari melakukan maksiat tersebut
2- Dia menyesal atas perbuatannya
3- Dia berazam tidak kembali mengulangi maksiat itu selama-lamanya

Jika hilang atau tiada salah satu syarat tersebut tidaklah sah taubatnya.
Dan jika maksiat atau kesalahan hamba itu berkait dengan hak anak Adam, maka syarat-syarat taubat itu menjadi empat syarat dengan satu lagi tambahan iaitu dia melepaskan (menyerahkan semula) hak kepada tuannya. Jika hak itu berbentuk harta atau seumpamanya perlulah dikembalikan semula. Jika hak itu berbentuk hukuman qazaf dan seumpamanya dia perlulah minta balasan daripada tuan itu atau meminta kemaafannya. Dan jika dia ada mengumpat mintalah halal daripada insan yang dia umpat.

Wajib atas seseorang itu bertaubat atas semua dosa-dosanya, jika dia bertaubat sebahagian sahaja dari dosanya maka dosa itu sahajalah yang akan terhapus sedangkan dosa yang dia tidak mohon taubat masih kekal.

Maksud firman Allah Taala:"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudianlah hendaklah kamu bertaubat (kembali taat kepadaNya)". -Surah Hud:3



Rujukan:
- Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyadhus Solihin
- Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

13 Jun 2009

Teruskan beramal - Istiqomah


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah SWT yang menciptakan kita dan sekalian alam serta mengaturkannya mengikut kehendak dan kekuasaan-Nya. Salawat dan salam buat junjungan Baginda Muhammad s.a.w. yang tidak pernah putus asa mengunjukkan hidayah buat umat ini; salawat dan salam jua buat ahli keluarga dan sahabat baginda serta pengikut-pengikut setia mereka.

Sebahagian sahabat-sahabat telah pun selesai menghadapi peperiksaan. Mungkin sebahagian rasa sebebas-bebasnya kerana selesai menanggung beban, sedang sebahagian yang lain penuh debaran menunggu keputusan.Penuh harapan.
Justify Full
Di musim imtihan ini ramai di kalangan kita yang mengisi aktiviti-aktiviti selain mutolaah dan muzakarah dengan ibadah-ibadah sunnah; membaca Al-Quran, puasa sunat, qiyammullail, berzikir, memenuhi solat-solat qabliah-ba'diah, solat dhuha dan lain-lain lagi. Ibadah-ibadah fardhu juga acapkali kita pelihara. Masjid dikunjung saban waktu solat fardhu. Perkara maksiat kita awasi sebaik mungkin.

Suatu amalan yang cukup baik bagi mendidik diri (jiwa dan anggota) bagi menuntut taqwa dan mardhotillah. Kita mengharapkan amalan-amalan tersebut diterima oleh Allah Taala sebagai amal yang ikhlas keranaNya. Tidak untuk memohon kesenangan dunia semata-mata, tetapi menuntut ketenangan jiwa dan kebahagian di akhirat kelak. Hari yang tiada guna lagi harta benda dan anak pinak melainkan mereka yang datang menghadap Allah dengan hati yang tenang. Allah menyeru mereka "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan pembawakan kebaikkannya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhoi (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah dalam kumpulan hamba-hamba Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga Ku". (Al-Fajr:27-30).

Walau bagaimanapun, amatlah rugi dan malang jika amalan-amalan kita itu terputus di pertengahan jalan menuju ketaqwaan itu. Selesai sahaja exam kita disibukkan dengan aktiviti-aktiviti keduniaan dan santai sehingga melupakan kita dengan amalan-amalan yang telah kita pupuk tika di musim peperiksaan. Adakah kita bermain-main dengan ibadah? Ayuh, istiqomah -kanlah diri kita!

Bahkan buku-buku dan kitab-kitab juga kita tinggalkan. Jangan hendak dibaca serta difahami, ditatap atau belek pun tidak. Makin hanyut kita dalam arus kejahilan. Jom, tetapkan pendirian kita!

Ingin bersantai-santai? Ingin berehat-rehat? Ingin bergembira? Silakan...asalkan tidak melanggar syara'.Tetapi patutkah setiap hari? setiap masa? Lupakah peranan kita?

Rujukan:
-Tafsir Pimpinan Ar-Rahman


27 Mei 2009

Kesedihan dan Tangisan -Bekal kita di sana - 2

Selain daripada dalil-dalil tersebut, beberapa peristiwa juga boleh diambil iktibar melalui sirah nabawiyyah dan sejarah hidup para sahabat dan salafussoleh. Antaranya:

- Rasulullah s.a.w. bersedih di waktu terputus wahyu beberapa masa.

- Rasulullah s.a.w. menghadapi peristiwa 'amu alhuzni dan hadith al-ifki.

- Rasulullah menghadapi tentangan sengit dan bersedih dengan kejahilan umat dakwah Baginda dalam peristiwa di Kota Thaif.

Dan pelbagai lagi kisah duka Rasulullah s.a.w. namun Baginda sentiasa mendapat tarbiyah dari Allah Taala. Al-Quran Al-Karim adalah sebahagian daripada tarbiyah yang diterima Baginda s.a.w.

Para sahabat , tabien dan salafussoleh juga menangis apabila mengenangkan dosa-dosa mereka, mengenangkan kehidupan hari akhirat dan masalah umat yang dilanda kejahilan serta bergelumang dengan kemaksiatan.

- Daripada Mus'ab bin Saad, beliau berkata: Hafsah telah bertanya kepada Umar r.a.: Wahai Amirul Mukminin, kalaulah aku dapat memakai pakaian yang lebih lembut (mewah) dari pakaian kamu dan makan makanan yang lebih baik (enak) daripada makanan kamu. Sedang sesungguhnya Allah telah meluaskan rezeki dan memberikan banyak kebaikkan (kesenangan)? Maka Umar r.a. berkata: Sesungguhnya aku akan membantah dengan kamu. Apakah kamu tidak ingat bahawa Rasulullah s.a.w. menghadapi kehidupan yang susah dan begitu juga Abu Bakr r.a.? Maka Umar r.a. terus menerus menyebutnya sehingga beliau menangis mengenangkan kesusahan mereka. Maka Umar r.a. berkata kepada Hafsah: Demi Allah aku akan bersama hidup sepertimana mereka hidup, mudah-mudahan aku dapat keredhaan dengan sebab mengikut jejak langkah mereka berdua.

- Daripada Abdullah bin Isa,beliau berkata: Telah ada pada wajah Umar r.a. dua garisan hitam dari sebab menangis.

- Daripada Abi Solah,beliau berkata: Telah datang sekelompok orang dari penduduk Yaman kepada Abu Bakr As-Siddiq r.a., maka mereka telah meminta untuk dibacakan kepada mereka Al-Quran Al-Karim, dan (sedang dibaca) mereka menangis. Maka Abu Bakr As-Siddiq r.a. berkata: “Seperti inilah kami (para sahabat r.a.)”.

- Daripada Abu Raja’, beliau berkata: “Aku telah melihat Ibnu Abbas dan di bawah kedua matanya seperti tali selipar daripada sebab (aliran) air mata”.

- Ustaz Abdullah Nasih ‘Ulwan, apabila berbincang mengenai perpaduan dan kesatuan umat Islam, airmatanya pasti tumpah menandakan beliau adalah seorang yang sangat cintakan kesatuan umat Islam.

Dan begitu juga para tabien, alim ulama’, tuan-tuan guru yang sering menumpahkan air mata apabila menceritakan atau menyebut perihal hari akhirat dan masalah ummah sejagat.

Wallahu 'alam.

----------------------------------------------

Seperti apa siksa neraka itu? Rasulullah saw. pernah menggambarkan sebuah contoh siksa yang paling ringan. “Sesungguhnya seringan-ringan siksa penghuni neraka pada hari kiamat ialah seseorang yang di bawah kedua tumitnya diletakkan dua bara api yang dapat mendidihkan otaknya. Sedangkan ia berpendapat bahwa tidak ada seorang pun yang lebih berat siksaannya daripada itu, padahal itu adalah siksaan yang paling ringan bagi penghuni neraka.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Belum saatnyakah kita menangis di hadapan Allah, atau jangan-jangan, hati kita sudah teramat keras untuk tersentuh dengan kekuasaan Allah yang teramat jelas di hadapan kita. Imam Al-Ghazali pernah memberi nasihat iaitu jika seseorang hamba Allah tidak lagi mudah menangis karena takut dengan kekuasaan Allah, justeru menangislah karena ketidakmampuan untuk itu.


Rujukan:

Tafsir Pimpinan ArRahman Kepada Pengertian Al-Quran

Al-Mu'jam Al-Mufahris Li Alfaz Al-Quran Al-Karim

Al-Tibyan Fi Adab Hamlah Al-Quran

Al-'Asyrah Al-Mubassyirun Bil Al-Jannah

http://akhisalman.blogspot.com/
http://www.dakwatuna.com/


17 Mei 2009

Kesedihan dan Tangisan -Bekal kita di sana

Orang-orang yang beriman tidak akan merasa terlalu bersedih pada hal dunia dan apa yang menimpa mereka pada perkara dunia serta terhadap tingkah laku para mad'u mereka.

ولا تهنوا ولا تحزنوا و أنتم الأعلون ان كنتم مؤمنين ) – آل الامران: 139)

Bermaksud: " Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sunguh-sungguh) beriman".

Banyak ayat Allah Taala yang menjelaskan bahawa orang-orang beriman dan bertaqwa tidak gentar, takut dan berdukacita pada menghadapi kehidupan dunia dan musuh-musuh mereka. Tetapi mereka bersedih dan tangis pada perihal dosa-dosa, kelalaian mereka pada mengingati Allah SWT dan hari akhirat serta kekurangan amal soleh sebagai bekal di sana. Mereka terkesan apabila dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan disebut nama Allah. – Surah Al-Anfal, ayat 2.

Terdapat lebih kurang tujuh tempat di dalam Al-Quran yang berkaitan dengan 'tangisan'. Dan di sini penulis bawakan beberapa ayat Al-Quran yang berkaitan dengan tajuk ini. Firman Allah SWT:
إذا تتلى عليهم آيات الرحمن خروا سجدا وبكيا ) – مريم: 58 )
Bermaksud: "….Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Ar-Rahman (Allah) mereka segera sujud serta menangis."

ويخرون للأذقان يبكون ويزيدهم خشوعا ) الاسراء : 109)
Bermaksud: " Dan mereka bersegera menumuskan muka mereka dengan sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyu' ".

"Mereka" ialah ahli kitab yang mendalam ilmu mereka dan mengetahui kebenaran Al-Quran lalu memeluk Islam.

أزفة الأزفة . ليس لها من دون الله كاشفة . أفمن هذا الحديث تعجبون . وتضحكون ولا تبكون .
وأنتم سامدون. فاسجدوا لله واعبدوا . – سورة النجم : 57-62
Bermaksud: "Telah hampir masa datangnya saat yang hampir itu (akhirat). Tiada sesiapa pun selain Allah yang dapat menahan atau menghilangkan huru-hara kiamat itu. Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya) dan kamu tidak mahu menangis (kesalkan kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? Sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh lagi yang melalaikan kewajipan. Oleh yang demikian hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu) dan beribadahlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid)."

Di dalam hadis Rasulullah s.a.w. juga ada menyebut tentang 'tangisan'.

“Andai kalian mengetahui apa yang aku ketahui, niscaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis.” (HR. Bukhari dan Muslim)

(سبعة يظلهم الله في ظله، يوم لاظل إلا ظله: - منها- ورجل ذكر الله خاليا ففاضت عيناه)
Maksudnya:
Tujuh golongan yang mana Allah naungi mereka di bawah naungannya: -diantaranya- dan seorang lelaki yang mengingati Allah bersendirian lalu mengalir air matanya. (HR Bukhari dan Muslim)

عن عبد الله بن الشخير قال: رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي بنا، وفي صدره أزيز كأزيز المرجل من البكاء
Maksudnya:
Abdullah bin ٍSyikhir berkata: "Aku melihat Rasulullah s.a.w bersembahyang menjadi imam kami dan dadanya ada mempunyai bunyi esakan kerana menangis seperti bunyi periuk yang menggelegak." (HR Abu Daud dan Tirmizi)

ياأيها الناس ابكوا فإن لم تبكوا فتباكوا، فإن أهل النار يبكون في النار حتى تسيل دموعهم في خدودهم، كأنها جداول حتى تنقطع الدموع، فيسيل –يعني الدم- فيقرح العيون
Maksudnya: Hai manusia! Menangislah kamu.. Jika kamu taidak boleh menangis buat-buatlah menangis (sehingga boleh menangis), maka sesungguhnya ahli neraka menangis sehinggalah mengalir air mata di pipi mereka seolah ada anak-anak sungai sampailah habisnya air mata. Maka mengalirlah darah sehingga mata menjadi luka. (Hadis Hasan)

اقرءوا القرأن وابكوا , فان لم تبكوا فتبا كوا
Maksudnya: Bacalah Al-Quran dan menangislah, maka jika tidak boleh menangis maka buat-buatlah menangis. (Riwayat Ibnu Majah - Dhoif)

Oleh kerana itu, perlunya tadabbur tika membaca Al-Quran Al-Karim dengan memahami maknanya dan mengaitkannya dengan diri kita dan isu umat sekitar