17 Ogos 2011

Somalia: Krisis kebuluran semakin parah

KAHERAH , 15 Ogos  :Isu krisis kebuluran yang berlaku di Somalia yang semakin parah akhir-akhir ini mendapat perhatian Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Somalia yang dikenali sebagai negara yang menjadi pengasas Pertubuhan Persidangan Islam termasuk menjadi ahli PBB dan NAM, telah mengalami krisis kebuluran yang sangat teruk akibat musim kemarau, keganasan dan pergolakan politik dalaman yang berlaku.

PMRAM melihat bahawa isu yang berlaku di Somalia adalah isu besar yang memerlukan kepada kebersamaan seluruh masyarakat Islam untuk membantu mereka dengan kemampuan yang ada.  

"Fatwa yang dikeluarkan oleh Darul Ifta' Misriyyah bahawa membantu rakyat Somalia adalah 'wajib syarie' hukumnya di samping keseriusan Turki,Iran dan beberapa negara lain beserta PBB dan Palang Merah Antarabangsa sendiri untuk membantu mereka  menunjukkan bahawa isu yang berlaku di Somalia adalah isu yang sangat besar dan serius", ujar saudara Syeikh muhd Mujahid bin Sikh Nawawi, Naib Presiden III, merangkap Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM 2011 ketika dihubungi.

"Untuk menunjukkan kebersamaan dan kesatuan kita dalam membantu rakyat Somalia berhadapan krisis yang besar ini, PMRAM berharap agar kita sama-sama dapat menghulurkan bantuan kewangan kepada  untuk meringankan beban yang dihadapi oleh mereka", ujarnya lagi.

Sesiapa juga yang ingin menyumbang boleh menyerahkan sumbangan  melalui unit kebajikan di peringkat BKAN dan DPM masing-masing.

Sumber: Web PMRAM

12 Ogos 2011

Mesyuarat Agung Tahunan DPMM kali Ke 19

Assalamualaikum w.b.t. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, selesai sudah perjalanan aktiviti organisasi Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah untuk sesi 2010/2011. Langkahan baru perlu diatur dengan lebih baik dan bersemangat. Pimpinan dan ahli perlu saling berganding tangan menjayakan satu fikrah satu amal mengikut landasan Islam dengan sepenuh ikhlas hati. Ikhlas mencari mardhotillah dan membina kesatuan.

InsyaAllah, usia DPMM yang telah mencecah 20 tahun akan mematangkan lagi usia muda itu dalam mengemudi bahtera kesatuan ini.

Selamat bertugas kepada pimpinan baru, selamat membantu buat ahli-ahli di musim baru - 2011/2012.

1 Ogos 2011

Ramadhan Kareem - 1432 H

Assalamualaikum w.b.t.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah
Lagi Maha Penyayang.
Ahlan wasahlan ya Ramadhan. Ramadhan kareem. Kullu 'am wa antum bikheir. Itulah antara ucapan2 yang meniti di bibir2 masyarakat di sini. Sambutan mereka terhadap bulan Ramadhan meriah walaupun dunia kini menghadapi kemelesetan ekonomi dan peristiwa thaurah yang belum ada noktah penghujungnya.

Apa yang best berpuasa Ramadhan di sini adalah alunan ayat-ayat al-Quran sentiasa bergema saban hari terutama ketika solat terawih didirikan. Manakan tidak, masjid2 di sini yang agak rapat2 menyebabkan alunan ayat2 suci itu bergema ke gegendang telinga. Mudahan ia menyentuh hati dan meneranginya.

Apa yang penting sempena awal Ramadhan ini adalah azam/niat/cita2 kita untuk menjadikan pengisian Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang lalu. Dan apabila kita menanam azam sudah pasti kita memasak langkah-langkah dan perancangannya. Samada dari sudut ibadah ( membaca dan mentadabbur Al-Quran, qiyammullail, tarawih, sedekah, menuntut ilmu, kerja kebajikan dsb ), akhlak ( mujahadah menanam sikap mahmudah dan menghakis sifat mazmumah ), dan perbaiki segala amal ibadah yang khusus dan umum.

Bukan mudah sebenarnya untuk melaksanakan semua itu, tetapi keyakinan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka sesungguhnya tiap-tiap kesusahan itu ada disertai kemudahan, dan (ditegaskan lagi) sesungguhnya tiap-tiap kesusahan itu ada disertai kemudahan...", -menjadi satu semangat untuk terus berusaha. Maka peranan kita untuk sama-sama bermujahadah dan saling mengingati serta menasihati untuk mencapai redha Allah Taala.

Ya Allah, pimpinlah kami ke redha Mu...Siiru 'ala barakatillah.

-Kalau UMNO/KBMK berani nak buat zalim di bulan mulia ini...... taubat dan mohon maaflah!

23 Julai 2011

Orientalis: Dahulu...

Sebagai sambungan dari tajuk berkenaan missionnary (ruj.), insyaAllah kali ini kita kenali pula serba sedikit tentang satu golongan yang memusuhi Islam. Golongan ini terdiri dari kalangan orang-orang Barat yang juga kebanyakkan mereka terdiri daripada rahib-rahib kristian. Mereka ini dikenali sebagai orientalis atau dalam bahasa Arab disebut mustasyrikhin.

Orientalis boleh didefinasikan sebagai orang-orang yang mengkaji dan menceduk ilmu-ilmu pengetahuan dari negara-negara timur Islam. Kajian mereka meliputi ilmu pengetahuan agama, adab, adat, bahasa, politik, ekonomi dan sebagainya. Tujuan kajian dan penyelidikan tersebut adalah demi membentuk perkembangan kemajuan Barat dalam menyaingi dunia Islam pada zaman kegemilangannya. Walau bagaimanapun, sebahagian kecil daripada mereka ada yang belajar dan mengkaji  hanya untuk mencari pengetahuan dan kebenaran. Hatta, terdapat sebilangan kecil daripada mereka mendapat hidayah Allah Taala dan memeluk Islam.

Ahli-ahli bersejarah berselisih pendapat pada permulaan timbulnya golongan ini. Sebahagiannya berpendapat pada kurun 10 Masihi yang dimulai oleh pendita berbangsa Perancis iaitu Gerbect De Oraliac ( 938-1003 M ) yang telah pergi ke Andalus dan menuntut ilmu dengan beberapa orang guru (Islam) di Asybiliah dan Cordova. Dari itu, berkembanglah di zamannya ahli-ahli ilmu di Eropah dengan pengetahuan-pengetahuan Bahasa Arab, Matematik, ilmu Falak (kaji bintang) dan sebagainya. Kemudian, beliau telah dilantik sebagai Pope di Rom dengan mendapat gelaran Silvester II (999-1003).

Sebahagian ahli bersejarah pula berpendapat, orientalis bermula pada awal kurun ke 11 masihi dan sebahagian pula berpendapat pada kurun ke 12 Masihi apabila telah sempurnanya pertejemahan makna-makna Al-Quran ke bahasa Latin dan terbitnya kamus Bahasa Latin-Bahasa Arab yang pertama, dan terdapat juga beberapa pendapat yang lain.

Walau bagaimanapun, tujuan kita di sini ialah untuk mengenali serba sedikit latar belakang mereka dan yang utama adalah peranan dan misi sebahagian besar mereka dalam merosakkan umat Islam.

Sebab-sebab muncul golongan orientalis

1- Agama Islam yang tersebar dengan cepat di Timur dan Barat
2- Pertembungan yang berlakui di antara dua dunia iaitu dunia Islam dan Nasrani (Kristian) di Andalus dan Sokhliah di Itali.
3- Peperangan-peperangan salib (yang berlaku berturutan)
4- Menjaga penganut Kristian dari memeluk Islam
5- Perluasan kawasan dunia Masihi

Matlamat golongan orientalis

1- Agama
2- Penjajahan (kuasa pemerintahan)
3- Perdagangan (ekonomi)
4- Politik
5- Ilmu pengetahuan

Sumber: al-Isytisyraq wa Tabsyir Fi Mizanil Islam: 
Dr. Bidir Muhammad Bidir, Kuliah Usuluddin Universiti Al-Azhar As-Syarif.

15 Julai 2011

Gurauan...

Terdapat di dalam wasiat Imam Hassan Al-Banna yang menyebutkan bahawa: 
" Anda hendaklah bersikap serius dan sentiasa bersungguh-sungguh. Walau bagaimanapun sikap serius ini tidak bermakna anda mengenepikan senda gurau yang benar dan ketawa ".
Ada cara dalam kita bersenda gurau bagi mengeratkan ukhuwah Islamiah dan menghiburkan sebentar hati meraikan fitrah insaniah. Dan Islam meletakkan garis panduannya agar tidak tersasar...
-----------------------------------------
Salam untuk semua pengunjung blog saya. Hari ni nak cerita pasal gurau senda. Hidup tanpa gelak tawa atau gurau senda ibarat hidup yang suram. Islam membolehkan kita untuk bergurau senda di samping insan-insan yang berada disekeliling kita.

Cuma sekarang ni, adakah gurau senda kita itu menepati Sunnah, para sahabat dan amalan ulama-ulama terdahulu. Islam bukanlah agama yang skeptik kepada hukum hakam semata-mata. Inilah agama terbaik yang meliputi keseluruhan hidup manusia. Allahuakbar..

Sufyan bin 'Uyainah pernah ditanya oleh seorang lelaki :

" Adakah gurausenda itu sesuatu yang dilarang ?"

Jawab Sufyan :

 " Tidak. Bahkan ianya Sunnah. Tetapi untuk mereka yang tahu menjaganya dan meletakkan ditempat yang sepatutnya."

Melihat kepada masyarakat kita sekarang ini, kadangkala gurauan itu melampui batas yang sepatutnya. Gurauan di zaman ini bukan sekadar berdepan dengan orang-orang disekeliling kita, malah lebih daripada itu. Dengan kewujudan teknologi canggih yang dah tak terkejar dek kita,macam-macam boleh berlaku. Gurau di 'handphone', internet dan macam-macam lagi.

Jadi saya bawakan beberapa perkara yang sepatutnya diamalkan dalam gurau senda kita seharian.

1. Tidak mempersendakan agama.

Berhati-hatilah bila berbicara tentang agama. Jangan dibawa bergurau perkara yang ada hukum hakam agama. Saya pernah melihat beberapa video di You Tube beberapa pelajar-pelajar bergurau senda ketika melakukan solat dan zikir. Semoga Allah memberikan mereka hidayah.

2. Gurauan yang benar. Bukan yang direka cipta atau sengaja diada-adakan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

" Celakalah mereka yang berkata-kata kemudian menipu lalu ditertawakan oleh kaumnya". (Riwayat Abu Dawud )

3. Jangan menakut-nakutkan orang lain.

Kebiasaannya kepada mereka yang ada kuasa. Seperti pihak berkuasa menggunakan kuasa yang ada mereka  untuk mengugut secara bergurau.

4. Jangan mempersendakan dan mengata keburukan orang lain.

Sabda Nabi SAW. 

" Jangan dizahirkan keburukan saudara kamu. Kamu akan dirahmati Allah"
(Sahih menurut Albani )

5. Jangan bergurau terlalu kerap.

Ada di antara kita amat gemar bergurau sehinggakan menjadi kebiasaan harian. Ini akan menjadikan kita tidak proaktif. Berguraulah sekadar yang perlu sahaja.

Kata Khalifah Umar Abdul Aziz :

" Berjaga-jagalah dengan gurauan, kerana sesungguhnya kebodohan itu mewarisi dendam"

6. Mengetahui cara bergurau mengikut kadar usia.

Ini penting kerana gurauan ada yang bersesuaian dan ada yang tidak. Cara untuk bergurau dengan orang tua berlainan dengan cara gurau orang muda. Kanak-kanak tidak sama dengan orang dewasa. 

7. Jangan mengumpat orang lain di dalam gurauan kita.

Banyak hadis Nabi tentang dosa mengumpat orang lain.

8.  Memilih waktu yang bersesuaian untuk bergurau.

Ibnu Umar pernah ditanya : " Adakah sahabat-sahabat nabi ketawa? "

Jawab Ibnu Umar : " Ya. Dan iman di hati mereka ibarat bukit tinggi."

Sekian dulu untuk entri kali ini. Moga ada manfaatnya. :)
 Zakaria Md Yusoff
Newcastle, Australia.

Sumber: Blogger Zakaria