Sebagaimana badan memerlukan makanan dan minuman maka begitu juga fikiran dan otak yang memerlukan curahan ilmu dan pengetahuan. Antara cara menimba pengetahuan dan ilmu adalah dengan membaca. Betapa pentingnya membaca sepertimana kita maklumi melalui ayat Al-Quran yang pertama turun adalah gesaan supaya membaca : اقرأ . ( Membacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu). Mungkin saudara boleh membuka seketika kitab Safwatut Tafasir yang telah menjelaskan bahawa Surah al-A'laq ini bermula dengan seruan supaya membaca dan belajar. Selain itu, turut disebut seruan supaya menulis kerana semua itu merupakan syiar Islam.
Sebenarnya, diri kita sendiri mengakui bahawa membaca adalah merupakan suatu aset penting dalam menambah ilmu, berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta buah fikiran dengan penulis. Dan perkara ini akan lebih jelas apabila penulis mengarang tulisannya seolah-olah sedang berkomunikasi dengan kita.
Dari mula saya membicarakan tentang kepentingan membaca dalam masyarakat kita tetapi apakah yang ingin dibaca; buku, papan iklan, surat, surat khabar, majalah, blog, web atau hati dan fikiran manusia?? Bacalah! Baca apa sahaja yang berada di sekeliling anda. Namun, apa yang penting bahan bacaan anda tersebut adalah bahan yang penting untuk kebaikan dan perkembangan minda serta menuntun jiwa ke arah kebaikan. Awas! Bahan bacaan yang boleh merosak dan menyesatkan akal dan jiwa anda dari menerima tadahan iman dan akal yang sejahtera.
“ANDA 5 TAHUN AKAN DATANG BERGANTUNG KEPADA BUKU APA YANG ANDA BACA HARI INI DAN DENGAN SIAPA ANDA BERSAHABAT” - Hukama’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam persaudaraan, mencari kebenaran...