Perginya bulan Ramadhan Al-Mubarak seperti meninggalkan suatu waktu yang sangat bernilai dan penuh kenangan. Para salafussoleh menangisi pemergian bulan Ramadhan. Manakan tidak, bulan Ramadhan adalah bulan dibuka pintu rahmat dan ditutup pintu azab. Bulan yang penuh keberkatan dan keampunan. Bulan yang diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia. Bulan yang terkandung padanya satu malam menyamai seribu bulan. Bulan yang terkandung padanya semangat perjuangan iaitu roh peperangan Badar Kubro dan lain-lainnya. Demikianlah kelebihan yang ada pada bulan tersebut sebagai satu kelebihan kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Setelah sebulan berpuasa Ramadhan, kita menyambut Syawal bagi meraikan kesyukuran atas kemenangan melaksanakan perintah Alah SWT. Dan bertambah-tambah kesyukuran bagi mereka yang benar-benar bertuah kerana dapat memanfaatkan sepenuhnya bulan Ramadhan. Oleh itu, kedatangan 1 Syawal diraikan dengan laungan takbir, mengagungkan keesaan Allah SWT yang memerintah alam dan berkuasa memberi hak pemerintahan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Berbahagialah mereka yang menghayati takbir dengan hati yang suci dan berjaya menanam semangat cinta kepada Islam.
Walau bagaimanapun, setelah umat Islam bergembira dan bersuka ria ( mengikut batas-batas syara' ), menjamu selera, berpakaian baru, berwangi-wangian dan saling ziarah menziarahi; Allah SWT meminta supaya kita berpuasa enam hari di bulan Syawal. Ini seolah-olah dapat menjadi bukti bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada Tuhannya. Bukankah ibadat puasa ini mengikut hadis sebenarnya mengekang nafsu syahwat? Dan supaya kita tidak lupa dan lalai dengan sebulan beribadat di bulan Ramadhan setelah bergembira di hari raya ‘Aidilfitri.
Berpuasa enam hari di bulan Syawal amat besar ganjarannya. Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud) : “ Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun ”. (Hadis riwayat Imam Muslim. Kitab Puasa). Hadis ini menjadi hujjah kepada para ulama khususnya dan umat Islam seluruhnya untuk mengamalkan puasa sebanyak enam hari di bulan Syawal selepas berjaya menempuhi bulan Ramadhan yang berpuasa sebulan penuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam persaudaraan, mencari kebenaran...