Sya’ban dijanjikan Allah pelbagai kelebihan dan kenikmatan kepada hambanya yang bijak mengambil kesempatan untuk beribadah dalam bulan tersebut. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Barangsiapa yang mengagungkan bulan Sya'ban, bertaqwa kepada Allah SWT, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah SWT akan mengampun semua dosanya dan menyelamatkannya dalam satu tahun dari segala bencana dan penyakit".
Ibadah yang dianjur dalam bulan Sya'ban
1. Keutamaan berpuasa: Sayidatina A'isyah r.a. berkata:" Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak dari bulan Sya'ban (kecuali Ramadhan) kerana sesungguhnya baginda SAW telah berpuasa sebulan penuh dan besabda:"Lakukanlah apa amalan yang termampu kerana Allah tidak pernah merasa jemu sehingga kamu yang merasa jemu".
2. Nisfu Sya'ban: Sabda Nabi SAW: Berjagalah kamu pada malam Nisfu Sya’ban bersembahyang, beribadah dan puasa kamu pada siangnya. Allah SWT berfirman: Adakah orang yang meminta ampun maka aku ampunkannya adakah orang yang ditimpa bala maka aku a’fiatkannya adakah orang yang meminta rezeki maka aku rezekikanya. Pada awal Nisfu Sya'ban iaitu pada awal malam 14 Sya'ban kebiasaan sebahagian umat Islam terutama di Malaysia; mereka akan berkumpul di masjid dan surau untuk membaca surah Yasin sebanyak 3 kali dengan bacaaan pertama memohon supaya dipanjangkan umur dalam ketaatan kepada Allah SWT. Bacaan kali kedua memohon supaya dihindar dari segala bahya dan bencana. Manakala, bacaan kali ketiga mengharap supaya menjadi hamba Allah yang tidak berhajat kecuali hanya kepadaNya.
3. Mempertingkatkan amalan ibadah: Bulan yang mulia di sisi Islam ini menjadi kesempatan untuk kita mempergandakan lagi amalan-amalan sunat harian kita sebagai seorang muslim mukmin. Memperbanyakkan istighfar, berzikir, membaca Al-Quran, bersedekah serta memohon taubat kepada Allah SWT.
Sya’ban sebagai bulan persediaan menyambut dan mengagungkan Ramadhan. Individu yang merebut peluang ini akan merasai kehadiran Ramadhan sebagai suatu yang amat dinanti dan dirindui. Oleh itu, doa Rasulullah s.a.w ketika datang bulan Rejab;
اللهم باركلنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان
“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, dan pertemukanlah kami (panjangkan umur kami sehingga dapat berjumpa) dengan Ramadhan.” Dan kita juga dapat teruskan doa ini sehinggalah kita menemui Ramadhan nanti.Kemuliaan Sya’ban pada Nisfunya dan kemulian Ramadhan pada Lailatul Qadarnya, Rejab bulan menabur benih, Rejab menyucikan badannya. Sya’ban bulan menyiram tanaman, Sya’ban menyucikan hatinya. Ramadhan bulan menuai, Ramadhan menyucikan ruhnya. Rejab bulan maghfirah, Rejab bulan taubah.Sya’ban bulan syafa’ah, Sya’ban bulan mahabbah. Ramadhan bulan mardhatillah, Ramadhan bulan rahmah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam persaudaraan, mencari kebenaran...