16 November 2008

Usrah...MB....SC....tiada bezanya. Penting mengikutinya.

Assalamualaikum w.b.t. ,

Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah SWT yang mencipta dan mentadbir sekalian alam, langit dan bumi, dunia dan akhirat. Salawat dan salam buat junjungan Rasulullah saw yang mengunjuk kepada umatnya jalan kebenaran; juga buat ahli keluarga dan para sahabat baginda, pengikut setia baginda saw dan orang-orang yang mengikuti pengikut-pengikut setia baginda saw sehingga ke hari akkhirat.
Al-Quran dan As-Sunnah merupakan cahaya petunjuk yang tidak malap diharung zaman,sesuai di setiap tempat. Keduanya juga adalah harta peninggalan Rasulullah saw yang menjamin kebahagiaan untuk umatnya di dunia dan di akhirat.
Sesuatu penyelesaiaan yang kabur di dalam Al-Quran maka As-Sunnah menjadi rujukan. As-Sunnah adalah apa yang diucap,dibuat,sifat baginda saw– rupa tubuh atau akhlak serta apa yang dibenarkan oleh Rasulullah saw pada sesuatu perbuatan dari kalangan sahabat baginda.
Oleh itu, sirah Rasulullah saw juga perlu menjadi sumber rujukan umat baginda dalam melaksanakan kegiatan harian kehidupan seorang muslim.
Dengan itu usrah atau di sini lebih dikenali sebagai Muzakarah Berkelompok di DPMM manakala di PCM dipanggil Smart Circle merupakan aktiviti mingguan seluruh mahasiswa Islam di sini.

Apa itu usrah/MB/SC?

Islam memandang sangat mustahak pembentukan ikatan perpaduan untuk penganutnya. Ikatan itu dinamakan usrah. Melalui usrah kita dapat memimpin penganut Islam ke arah contoh-contoh pujian yang tinggi di samping memperkukuh ikatan silaturrahim yang sedia ada.
Usrah yang berasal dari perkataan Arab yang membawa makna keluarga adalah merupakan satu medan di mana ahlinya bersama menjalani satu proses pembentukan yang dibina atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah.
Bila mana kita menyebut ianya sebagai satu proses pembentukan ia membawa makna penekanan dan perbincangan di dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh.
Penekanan terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan terhadap Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi) yang akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.
Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.
Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasi oleh kebatilan yang kemas tersusun.

Apa tujuan usrah/MB/SC ?

01. Menghubungkan diri dengan Allah SWT selaku hambaNya.
02. Merapatkan ukhuwah Islamiah.
03. Meluaskan kefahaman terhadap Islam.
04. Memelihara dan menghubungkan diri sesama manusia dan alam semesta.
05. Mendalami ilmu fardhu ain.
06. Memberi galakan dan bimbingan dalam ibadah kepada generasi muda.
07. Meningkatkan kefahaman anggota-anggota terhadap Islam dan menentukan sikap terhadap satu-satu masalah sebagai umat Islam.
08. Menambahkan penghayatan dan menimbulkan perasaan tanggungjawab terhadap ajaran Islam secara peribadi dan jamaah.
09. Membina satu generasi Islam yang mengenali Islam sebagai din wa daulah, menghayatinya dalam kehidupan peribadi, menjadikan azam dan cita-cita serta tindakan mendakwahkan Islam sebagai sistem hidup dalam keluarga, masyarakat dan negara.
10. Membina generasi Islam yang menegakkan akhlak Islamiah dalam diri dan sensitif terhadap segala perkara yang tidak Islamik.
11. Membina generasi Islam yang insaf dan sedar akan pelbagai cabaran dan godaan yang mengancam kemurnian Islam.

Rukun usrah/MB/SC ?

Rukun ikatan usrah ini tiga perkara. Kita hendaklah mengambil berat perkara ini dan bersungguh-sungguh menjayakannya supaya ikatan itu tidaklah semata-mata menjadi beban yang tidak bererti.

Saling mengenali: Ahli usrah hendaklah berkenal-kenalan (taaruf) serta berkasih sayang dengan semangat cinta kepada agama. Elakkan perkara yang boleh mengeruhkan ukhuwah. Hal ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjunjung tinggi titah firman Allah SWT dan hadis Rasulullah s.a.w. Jadikan firman Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. sebagai perkara yang wajib diutamakan.: “Orang-orang mukmin itu bersaudara-mara”. (Al-Hujurat, 26:10) “Berpeganglah dengan tali Allah semuanya dan janganlah kamu berpecah-belah”. (Ali Imran, 3:103) ‘ Orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain’. (Hadis).

Saling memahami:(Tafahum) Periksalah diri sendiri dengan sehalus-halusnya sama ada diri kita benar-benar mentaati perintah Allah atau terlibat dalam arena kederhakaan.
Setelah memeriksa diri sendiri, kita hendaklah nasihat-menasihati antara satu sama lain apabila kelihatan ada sesuatu yang cacat. Rakan yang dinasihati itu hendaklah bersikap terbuka dan sanggup menerima nasihat daripada sahabatnya. Pemberi nasihat janganlah berubah hati terhadap sahabat yang tersilap itu walau sejarak sehelai rambut sekali pun. Nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik tanpa memandang rendah sahabat yang dinasihati itu. Pemberi nasihat janganlah menganggap dirinya lebih mulia. Fahamilah bahawa martabat kasih sayang kerana Allah itu adalah setinggi-tinggi martabat bagi pengertian kasih sayang di kalangan umat manusia. Nasihat pula adalah satu dasar yang amat penting dalam agama Islam.

Saling memelihara nasib: Takaful bermaksud memelihara nasib sesama sendiri agar tiada sahabat yang terbiar atau terlantar. Amalkan rukun ini dengan bersungguh-sungguh, iaitu dengan cara menolong memikul bebanan sesama sendiri. Takaful merupakan tunjang iman dan inti sari ukhuwah sejati. Takaful boleh dijelmakan dengan cara bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi, berganti-ganti membuat kebajikan dengan jalan segera menolong antara satu sama lain sedaya upaya. Sabda Rasulullah s.a.w.(maksudnya), "Kalau seseorang daripada kamu itu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baik baginya daripada ia beriktikaf sebulan di masjidku ini. (Hadis).

Daripada edaran pamplet Jabatan Muzakarah Berkelompok DPMM sesi 2008 / 2009

30 Oktober 2008

Figur: Omar Mokhtar, singa padang pasir digeruni musuh

Tokoh terbilang ini nama penuhnya Omar al-Mokhtar Muhammad Farhat Abridan Muhammad Mukmin Buhadimeh Abdullah bin Manaf Bin Muhsen bin Hasan bin Ikrimah bin al-Wataj Bin Sufyan bin Khaled bin al-Joshafi bin Toher Bin al-Arqa' bin Said bin Uwaidah bin al-Jareh bin Khofi bin Hisham Bin Manaf al-Kabir yang berketurunan sampai kepada bangsa Quraisy. Omar dilahirkan di perkampungan Timur Jenzur di timur Libya bersempadan dengan Mesir pada 1858M. Beliau lahir dalam keadaan yatim piatu apabila kedua-dua ayah dan ibunya meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji.


Omar mendapat pendidikan awal di desanya sebelum melanjutkan di peringkat menengah di bandar al-Jaghbub kira-kira 500 kilometer dari ibu negara Libya, Tripoli. Beliau menetap di situ selama lapan tahun untuk mendalami ilmu-ilmu agama di tangan para ulama tersohor seperti Imam Saiyid al-Mahdi as-Sanusi tokoh ulama sufi tarekat as-Sanusiyyah. Beliau sempat belajar bahasa Arab, subjek-subjek yang berkaitan dengan Syariat Islamiah, ilmu-ilmu al-Quran dan menghafaznya dalam usia yang begitu muda. Kepintaran beliau dapat dikesan oleh para gurunya dan mendapat perhatian serius dalam setiap subjek yang dipelajari. Begitu juga bakat kepimpinan yang ditampilkan beliau semasa belajar di situ. Beliau sering dipuji melangit oleh guru-gurunya kerana contoh teladan yang ditunjukkan di samping disiplin ketika belajar. Beliau telah diminta oleh Syeikh al-Mahdi untuk mengiringinya ke Sudan dan Chad pada 1899 ketika beliau berusia 37 tahun memimpin pasukan mujahidin as-Sanusiyyah menentang penjajah Perancis, di mana beliau sudah mula terlibat dalam jihad menentang penjajah yang sering mendatangkan masalah kepada negara.


Menyertai jihad

Libya merupakan destinasi kedua Itali selepas Turki yang ditaklukinya pada 29 September 1911 untuk melenyapkan pemerintahan Islam Othmaniyyah yang akhirnya jatuh pada 1924 di tangan Inggeris. Ia menghadapi tentangan hebat daripada tentera Itali yang mahu menakluk Libya seluruhnya, ini bermakna selepas tahun 1911, suasana untuk belajar secara formal tidak lagi dianggap munasabah, kerana di mana-mana pelosok dibanjiri dengan peluru dan bom tentera Itali. Omar al-Mokhtar telah biasa dengan suasana itu.


Libya menanti kehadiran pasukan tentera laut Itali yang menyeberangi Laut Mediterranean untuk menyusup masuk bandar Tripoli dan Benghazi pada 1912, iaitu dianggap tahun berlakunya peperangan besar antara tentera Itali dan Libya. Mujahidin Libya yang diketuai oleh Omar al-Mokhtar berjaya membunuh belasan tentera laut Itali, mengusir 400 daripada mereka dan merampas persenjataan perang serta alat-alat kelengkapan perang yang menjadikan pergerakan mereka lebih mudah untuk mengusir dan bertahan.


Kejayaan Omar al-Mokhtar menghadapi tentera Itali boleh dibahagikan kepada tiga aspek penting:

1. Menghalang kemasukan tentera laut Itali dari Mesir dan memperkukuh barisan mujahidin di bandar Marmarika.

2. Pengawasan mujahidin di persempadan negara-negara jiran seperti di al-'Arqub, Salnatah dan al-Mukhili.

3. Persediaan mujahidin sepenuhnya di Miswas dan Ajdabiya yang merupakan pintu masuk penjajah.


Jeneral Itali yang bertugas pada waktu itu sudah dapat menghidu pergerakan Omar al-Mokhtar serta perancangannya, maka beliau mengarahkan supaya mencetuskan peperangan hanya menunggu di Umm Syakhnab, Syalizimah dan Zuwaitinah, ia berlaku pada 1914M hingga tercetusnya Perang Dunia Pertama.


Ketokohan Omar terserlah

Perang Dunia I berlarutan antara 28 Julai 1914 hingga 11 November 1918 dan ia bermula di rantau Balkan dan ketika itu juga kebanyakan negara-negara Barat atau lebih dikenali sebagai negara-negara yang menyimpan dendam kesumat terhadap Islam akibat kekalahan dalam perang Salib satu ketika dahulu. Mereka menyimpan hasrat untuk membalas dendam terhadap negara-negara umat Islam di seluruh dunia. Negara-negara yang jelas menunjukkan kebencian terhadap Islam adalah seperti Belanda, Perancis, Jerman, Itali, Britain, Sepanyol dan lain-lain.


Apabila tentera Itali mula memasuki Libya peringkat demi peringkat serta mencetuskan kekacauan pada 1922, Omar al-Mokhtar menyusun strategi untuk menghadapi kemaraan tentera-tentera Itali yang tidak diundang.

Selain sibuk dengan kelas-kelas pengajian al-Quran dengan anak-anak orang kampungnya, beliau tetap mempersiapkan generasi muda untuk bangkit berjihad ketika beliau mencecah usia hampir 50 tahun. Tetapi semangat untuk berjihad tetap membara seperti ketika beliau menemani gurunya satu ketika dahulu di sempadan Sudan dan Chad menghadapi kerakusan bala tentera Perancis.


Omar al-Mokhtar dan anak-anak buahnya yang berjihad walaupun pada peringkat awal berjaya melepasi serangan demi serangan daripada pihak Itali yang merasakan bahawa kepimpinan dan pengalamannya dalam peperangan sukar untuk ditembusi, kepimpinannya dikagumi pihak musuh, namun kehadiran tentera Itali di bumi Libya adalah untuk menaklukinya. Justeru, mereka juga mempunyai pelbagai perancangan dan kemudahan peralatan berbanding Omar dan rakan-rakannya yang berbekalkan senjata lapuk. Namun keimanan yang cukup tinggi kepada Allah SWT merupakan senjata ampuh yang sukar dikalahkan dan mereka tetap menjadi sasaran musuh untuk dikalahkan. Bagi mereka (Itali) jika Omar dapat dikalahkan bermakna mudahlah Libya berada di bawah penguasaan mereka.


Dihukum gantung sampai mati

Akhirnya Omar berjaya ditahan. Beliau dan beberapa orang kanannya didakwa dan dibicarakan, keputusan menyebut bahawa Omar al-Mokhtar didapati bersalah kerana melawan kerajaan Itali dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Sebelum beliau digantung pada pagi 16 September 1931 di hadapan pembesar Angkatan Tentera Itali, beliau meminta izin untuk berpesan kepada seluruh rakyat Libya yang hadir untuk menyaksikan hukuman berkenaan dan jasadnya yang terakhir sebelum terkulai layu sebagai syahid.


Beliau meingatkan kepada mereka: "Kita tidak akan menyerah dengan mudah kepada pihak musuh, kerana sama ada kita menang ataupun kita mati, ini bukanlah penghujung perjuangan kita. Bahkan kamu semua juga akan menghadapi peperangan demi peperangan, jika kamu gugur, ia akan diteruskan oleh generasi selepas kamu, adapun umur aku sendiri hanya setakat ini, tetapi ia terus hidup menjadi kenang-kenangan sampai bila-bila (sekurang-kurangnya aku telah menunjukkan jalan yang baik) untuk mempertahan agama Allah yang benar di muka bumi ini." – lanh


Susunan: Ustaz Zainudin Hashim

Khamis 30 Oktober 2008 | 29 Shawwal 1429 Hijrah

http://harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17569&Itemid=1

1 Oktober 2008

* Salam Aidilfitri 1429 H *




Semoga Ramadhan yang berlalu memberi erti dalam meneruskan kehidupan ini dan dengan penuh harapan dapat bertemu lagi Ramadhan yang akan datang bersama azam dan isi yang lebih bermakna. Manakala, kedatangan Syawal ini pula moga menaikkan semangat kita untuk terus bermujahadah mencari mardhotillah.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillahil hamd.

5 September 2008

Cabaran..Ujian..Kesabaran..

Assalamualaikum w.b.t.

Sudah lima hari kita melalui bulan ibadah - Ramadhan al-Mubarak. Macam mana, ada perubahan yang baik dan hampir nampak kejayaan? Atau diri semakin hanyut dengan hiburan dan kesibukan duniawi? Mungkin kita boleh sama-sama bermuhasabah. InsyaAllah, tinggal 25 hari lagi.

Hari ini nasib kurang baik.Harddisk problem.Meragam. Terpaksa diformat. Setup windows semula. Gambar-gambar kenangan di sini dan hasil penulisan habis hilang. Fail-fail lain tak menjadi masalah sangat. Boleh dicari semula. Adus...kalau lah ada program yang boleh mencari semula bahan-bahan/fail-fail tersebut...bagusnya,Alhamdulillah. Harap adalah.
Susah juga untuk menjaga barang lama melebihi jaga barang baru. Moga ada hikmahnya, ada baiknya.

* Ramadhan Karim.....Kullu 'am wa antum bi khair *

30 Ogos 2008

Ahlan Ya Ramadhan !!!

Assalamualaikum w.b.t.

Jarang-jarang sekali saya tulis santai di sini. Kebanyakkan entri adalah isi-isi ilmiah. Jadi sesekali perlu juga mengomel dan berborak oleh kerana tiada idea untuk menyusun suatu fakta atau perbahasan ilmu. Beberapa tugas juga belum selesai- persatuan, kuliah, urusan peribadi dsb. Dek hambatan aktiviti-aktiviti tersebutlah maka sukar untuk menyusun isi dan menulis.

Masa berlalu begitu laju. Sedikit hari lagi umat Islam akan menyambut puasa Ramadhan. Bulan Rejab dan Syaaban yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri telahpun berlalu. Sebagai muhasabah untuk diri; apakah ketaatan yang telah kita lakukan sebagai seorang hamba Allah yang berlumba-lumba mengejar kebaikkan? sebanyak mana penderhakaan dan kesalahan yang telah kita cuaikan? Alhamdulillah, jika banyak kebajikan yang telah kita laksanakan dengan pertolongan Allah dan rahmatNya. Astaghfirullah, jika sebaliknya dan berusaha memperbaiki segala kesilapan.

Dengan kehadiran Ramadhan, kita sebagai mukmin berasa gembira kerana kedatangan bulan ini diturunkan pelbagai rahmat dan nikmat oleh Allah SWT dan penuh kesedihan kerana takut jika bulan yang mulia ini tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya. Penuh kecuiaan dan kealpaan. Lebih malang lagi dengan berlalunya Ramadhan tidak memberi sebarang perubahan kebaikkan pada diri. Tidak meningkat menuju kejayaan sebagai seorang mukmin. Masih ditakuk lama. Sudah berapa lama kita menemui Ramadhan? Sudah berapa kali kita mentarbiyah diri dalam bulan tersebut? Berjayakah kita sebelum ini melaluinya?

Marilah sama-sama kita menghayati Ramadhan tahun ini samada yang tersurat ataupun tersirat, pada sudut hukum mahupun akhlak dan falsafah Ramadhan itu sendiri. InsyaAllah kita mungkin dapat melalui Ramadhan pada tahun ini. Tetapi untuk tahun depan belum tentu lagi; tidak kita ketahui-Allah SWT Maha Mengetahui. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menanam tekad dan azam untuk menjadikan pengisian Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang lalu. Dan apabila kita menanam azam sudah pasti kita memasak langkah-langkah dan perancangannya. Samada dari sudut ibadah ( membaca dan mentadabbur Al-Quran, qiyammullail, tarawih, sedekah, menuntut ilmu, kerja kebajikan dsb ), akhlak ( mujahadah menanam sikap mahmudah dan menghakis sifat mazmumah ), memperbaiki segala amal ibadah yang khusus dan umum.

Allahuakbar.....bukan mudah sebenarnya untuk melaksanakan semua itu tetapi keyakinan kepada firman Allah SWT: " Maka sesungguhnya tiap-tiap kesusahan itu ada disertai kemudahan,dan (ditegaskan lagi) sesungguhnya tiap-tiap kesusahan itu ada disertai kemudahan...", menjadi satu semangat untuk terus berusaha. Maka peranan kita untuk sama-sama bermujahadah dan saling mengingati serta menasihati.

'Ya Allah bimbinglah kami dan berilah kekuatan kepada kami untuk kami menuju keredhaan Mu'. Amin ya Rabbal A'lamin.

( Sorry.....melalut....)