27 Jun 2015

RAMADHAN- Bulan Tarbiyyah


Sudah 10 hari umat Islam menjalani ibadah di bulan Ramadhan pada tahun ini. Masa berlalu sangat cepat. Masa yang lepas tidak dapat diundurkan lagi. 

Apa khabar ibadah kita 10 hari yang pertama Ramadhan ini? Bagaimana jamaah surau dan masjid di kampung, taman dan bandar kita? Bacaan Al-Quran kita masih berterusan setiap hari?

Mudah-mudahan segala amal soleh kita terus berterusan hingga.......MATI. Bukan hanya berhenti di penghujung Ramadhan. Amal soleh kita bukan kerana Ramadhan tetapi kerana Allah Taala. Semoga Allah memberikan istiqomah kepada kita untuk terus mentaati dan beribadah kepadaNya. 

اللهم أعنا على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك  آمين

" Ya Allah, bantulah kami untuk mengingati Mu dan bersyukur kepada Mu serta elokkanlah ibadah kami kepada Mu ".

Bulan Ramadhan merupakan bulan tarbiyah (pendidikan). Iaitu bulan mendidik nafsu, akal, perasaan dan jasmani untuk tunduk dan mengikut segala perbuatan yang baik bertepatan dengan perintah Allah Taala. Perbuatan baik (amal soleh) yang merangkumi empat elemen tersebut tanpa ada pengecualian. Empat elemen tersebut salin kait mengait antara satu sama lain yang menjadikan kita seorang insan bukan haiwan. Namun empat elemen ini tidak mencukupi untuk membentuk diri insan soleh jika tidak ada suatu silibus pendidikan. Silibus pendidikan ini pula tidak sempurna dan akan ada cacat cela jika ia dicerna melalui akal. Silibus pendidikan untuk membentuk insan soleh ini perlu datang dari penguasa yang mencipta dan mentadbir alam ini. Alam adalah segala benda yang wujud selain Allah. Tiada penguasa lain melainkan Allah Taala yang Maha Pencipta dan Pentadbir alam ini yang telah menetapkan kepada kita silibus itu. Bagaimanapun amat malang apabila manusia meninggalkan silibus pendidikan itu di dalam proses kehidupan mereka seharian. Akhirnya umat menjadi hina dan dan takut berhadapan dengan musuh.

Silibus pendidikan tersebut adalah AL-QURAN AL-KARIM. Silibus ini juga telah diturunkan Allah Taala pada bulan pendidikan yang mulia ini. Al-Quran adalah silibus tarbiyah manakala Ramadhan adalah bulan tarbiyah, bulan diturunkan Al-Quran.

RAMADHAN AL-MUBARAK

20 Jun 2015

PUASA RAMADHAN - Ulangkaji

Sebagai seorang muslim yang taat kepada Allah Taala semestinya menerima dan melaksanakan perintah Allah Taala yang mewajibkan kepada hambaNya berpuasa apabila tibanya bulan Ramadhan. Firman Allah Taala yang bermaksud: " Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu; dengan itu mudah-mudahan kamu bertaqwa ". Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan rukun Islam selain Syahadah, solat 5 waktu sehari semalam dan berzakat serta menunaikan haji.

Mari kita ulangkaji beberapa pelajaran berkenaan puasa Ramadhan.

Puasa membawa maksud menahan diri daripada makan, minum, nafsu syahwat dan daripada melakukan sesuatu yang membatalkan puasa; bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat.

Syarat-syarat wajib berpuasa:

1. Orang Islam
2. Sudah dewasa (baligh)
3. Berfikiran waras
4. Mampu berpuasa

Syarat-syarat sah puasa:

1. Orang Islam
2. Orang yang berakal
3. Perempuan yang suci dari haid dan nifas
4. Berniat puasa pada waktu malam
5. Pada hari-hari yang sah berpuasa

Perkara wajib dilakukan oleh orang yang berpuasa ( rukun puasa )

1. Niat pada waktu malam
2. Menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar (Subuh) hingga terbenam matahari (Maghrib).


Perkara-perkara yang membatalkan puasa:

1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka.
2. Makan dan minum.
3. Melakukan persetubuhan dengan sengaja.
4. Muntah dengan sengaja.
5. Gila walaupun sebentar.
6. Pitam sepanjang hari.
7. Berlaku haid, nifas dan wiladah bagi orang perempuan.
8. Mengeluarkan air mani dengan sengaja.
9. Berbuka puasa dalam keadaan syak samada sudah terbenam matahari atau belum.
10. Murtad.

* Haid = Darah yang keluar melalui faraj perempuan yang berumur sekurang-kurangnya 9 tahun. Diwajibkan mandi sebaik sahaja kering haidnya.

* Wiladah = perempuan yang melahirkan anak disertai dengan basah atau tidak. Termasuk juga perempuan yang keguguran.

* Nifas = Darah yang keluar selepas perempuan melahirkan anak. Maka diwajibkan mandi setelah kering darah nifasnya.


14 Jun 2015

RAMADHAN KARIM

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala pujian dan kesyukuran hanya kepada Allah Taala yang masih mengizinkan kita bernafas pada hari ini. Apatah lagi sebahagian kita yang dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan yang membahagiakan. 

Hari ini 27 Syaaban 1436 Hijrah. Lagi 3 hari kita umat Islam akan menerima kedatangan bulan Ramadhan yang mulia. Bulan yang terdapat padanya kelebihan pada segala ibadah, banyak sejarah penting terpahat padanya, terdapat keistimewaan rohani dan jasmani dalam diri hamba Allah pada bulan itu dan sebagainya. 

Sepatutnya kita orang beriman sudah punyai azam untuk Ramadhan tahun ini. Apa azam aku pada Ramadhan kali ini? Kita sudah berkira-kira dengan amal kebaikan dan kebajikan serta keburukan dan kemaksiatan yang bakal kita hadapi pada bulan mulia ini. Bagaimana aku ingin perbaiki segala amal ibadahku? Menggandakan amal soleh?

Mudah-mudahan kita bersiap insyaAllah sebelum memasuki gerbang tarbiyah Ramadhan kali ini dengan penuh ikhlas kepada Allah. Bukan kita berubah diri kerana bulan Ramadhan tetapi kerana Allah S.W.T. Bulan Ramadhan hanya sebagai batu loncatan untuk kita tarbiyah diri agar lebih baik dari bulan-bulan sebelumnya bagi menempuh kehidupan bulan-bulan selepasnya.

AHLAN YA RAMADHAN


5 Jun 2015

Kem Kecemerlangan UPSRI

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, selesai sudah baru-baru ini sebuah program yang diadakan untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI). Seramai 100 orang peserta telah menyertai Kem Kecemerlangan UPSRI tersebut. Kem ini bertujuan memberikan motivasi kepada para pelajar, mendedahkan bentuk-bentuk soalan yang biasa keluar dalam kertas ujian, cara menjawab soalan dan sebagainya.

Kem yang berlangsung selama 3 hari 2 malam itu turut mendedahkan kepada para pelajar cara belajar berkumpulan (study group) dan berbincang dengan kawan-kawan. Mereka juga dilatih untuk mengikuti aktiviti dan menepati waktu yang telah disusun. Aktiviti yang merangkumi pengisian rohani, 'aqli dan jasmani. 

Semestinya letih dan penat dirasai mereka dalam mengikuti aktiviti yang telah diaturkan; bermula dari bangun tidur pada jam 5 pagi sehingga tidur pada jam 11 malam. Namun, kegembiraan masih terpancar di wajah masing-masing. Terutama semasa aktiviti riadhah.

Mudah-mudahan mereka mendapat faedah yang besar dari segala pengisian yang telah dihidangkan dalam kem kecemerlangan ini. Ameen...