29 Disember 2014

Sekolah dan banjir

Lebih kurang seminggu lagi pelajar-pelajar akan memulakan sesi baru persekolahan bagi tahun 2015. Sudah pasti sebahagian ibubapa dan pelajar-pelajar sendiri sudah mula membanjiri pasaraya-pasaraya dan bazar untuk membeli kelengkapan persekolahan. Set pakaian sekolah, alat tulis, buku dan sebagainya. Sebahagian ibubapa tidaklah membeli semua kelengkapan sempurna, membeli mengikut keperluan. Ekonomi kini menuntut individu dan sesebuah keluarga itu berjimat - cermat.Pakaian dan alatan yang lama tetapi masih sesuai digunapakai tidak perlu ditukar baru. Dengan demikian tidaklah membazir. Berjimat-cermat sifat mulia, tidak membazir pun sifat yang mulia. Dah dapat dua kemuliaan. Tetapi jangan tunggu keadaan 'tidak mampu' sahaja baru nak mengamalkan dua sifat mulia ini.

Dalam kesibukan kita membeli-belah barangan keperluan keluarga dan persekolahan anak-anak, jangan kita lupa nasib buruk dan musibah yang menimpa atas saudara-saudara kita di beberapa buah negeri. Banjir, hujan lebat berhari-hari, angin kencang dan sebagainya telah melanda di beberapa buah negeri di Malaysia. Negeri Kelantan adalah yang terburuk dilanda bah besar kali ini. Banyak kemusnahan harta awam dan kerajaan yang dialami termasuk beberapa nyawa terkorban. Bagaimanakah nasib mereka sekeluarga menghadapi situasi itu? Berapa lama mereka perlu tinggalkan rumah masing-masing? Bagaimana pula kehidupan mereka setelah banjir reda nanti? Tempat tinggal, pakaian, makanan, kenderaan, pekerjaan, persekolahan dan sebagainya? Musibah ini sebagai peringatan untuk kita semua dan mereka akan azab Allah serta menginsafi dosa-dosa kita. Semoga Allah Taala merahmati dan menambah ganjaran pahala kepada mereka dengan ujian yang menimpa ini. Selain itu,sumbangkanlah juga sedikit tenaga, harta dan mohonkanlah doa yang berterusan untuk mereka.

Gambar dari: shafiqalbu

17 Disember 2014

Intro- Mengapa Islam?

Li maza al-Islam ?
Sebuah buku kecil dan nipis tetapi mempunyai isi-isi yang penuh bermakna. Suatu kupasan bagi menjawab beberapa persoalan yang perlu diketahui dan difahami khusus kaum muslimin dan umat manusia amnya. Bagaimanapun, pengarang buku ini lebih menjuruskan isinya kepada umat Islam itu sendiri. Mereka yang telah menyimpang jauh dari kehidupan beracukan agama Islam, agama yang mereka imani. Selain itu, memahamkan lagi umat Islam berkenaan agama mereka dengan penuh keyakinan melalui kupasan dalam bentuk perbandingan. 

Buku ini ditulis semula dari sebuah rakaman ucapan yang berbahagia Dr. Yusuf al-Qardhowi kepada segolongan pelajar muslim di Amerika dan Kanada sempena himpunan muktamar tahunan mereka. Beberapa orang ikhwah (saudara) telah mengesyorkan supaya dibukukan rakaman tersebut supaya boleh dibaca oleh segenap penjuru umat. Tajuk ‘Kenapa islam?’ merupakan tajuk yang telah dipilih oleh persatuan pelajar-pelajar tersebut untuk mereka berdiskusi dan berbincang dalam majlis mereka itu.

Saya akan  tulis beberapa petikan dari buku tersebut untuk perkongsian bersama. Buku yang bertajuk asal ‘ Li maza al-Islam?’ merupakan buku dalam bahasa Arab yang saya akan cuba kupaskan dalam bahasa Melayu untuk tatapan kita semua. 

Kenapa Islam? Kenapa kita menyeru diri kita dan orang lain kepada Islam? Kita mengajak orang lain untuk masuk ke dalam agama Islam supaya mereka keluar dari alam kegelapan kepada sinar cahaya. Lalu mereka mendapat petunjuk menuju ke jalan yang lurus. Mengapa kita menyeru dunia seluruhnya kepada Islam? Untuk dunia ini keluar dari keresahan dan seksaannya. Kita menyeru orang lain kepada Islam kerana Islam satu-satunya aturan Allah Azza wa Jalla yang membolehkan mereka mendapat petunjuk dan mereka berasa aman bahagia dengannya. 

Ini bukanlah topik yang akan saya ceritakan kepada anda sekarang……

bersambung akan datang, insyaAllah.

11 Disember 2014

Cuti Sekolah 2014

Assalamualaikum w.b.t.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Lebih kurang 20 hari lagi cuti sekolah akan berakhir. Masa berlalu sangat pantas. Bagi sebahagian guru, cuti panjang ini mungkin tidak seperti sebahagian murid-murid yang dapat menikmati kerehatan dan kelapangan masa bersama keluarga dan kawan-kawan. Main bersama dan berkongsi hobi. Membantu keluarga dan menziarahi saudara -mara. Kenapa saya sebut sebahagian murid?

Murid dan pelajar zaman sekarang bukan seperti saya sewaktu kecil-kecil dulu. Sekarang pelbagai kem dan tuisyen untuk mereka sangat berkembang bahkan masuk hingga ke sebahagian kampung-kampung. Ibubapa yang sedikit berkemampuan dan ada kesedaran menghantar anak-anak mereka ke kem-kem dan tuisyen serta kelas. Samada kem, tuisyen dan kelas fardhu ain atau fardhu kifayah; duniawi mahupun ukhrawi. Perkara ini juga termasuk lawatan-lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh sebahagian sekolah. Dengan demikian, murid-murid ini sudah mempunyai jadual aktiviti sepanjang cuti. Mereka diajar untuk mengisi masa lapang ini dengan aktiviti terus belajar walau dalam musim cuti. Kanak-kanak pun sudah sibuk!

Sebahagian murid yang keluarga tidak berkemampuan hanya mengisi masa mereka dengan membantu ibubapa di rumah. Ada juga yang membantu keluarga menambah pendapatan kewangan. Apatah lagi mereka yang akan menempuh tahun baru persekolahan pasti memerlukan perbelanjaan yang lebih.

Demikianlah sebahagian murid dan pelajar menghadapi musim cuti persekolahan. Sebahagian lagi mungkin berseronok dan membuang masa berhari-hari dengan aktiviti tidak berfaedah. Bagaimana dengan anak-anak kita?

Cuti ini bagi sebahagian guru-guru sebulan rasa macam seminggu. Aktiviti penuh. Kursus, tanda kertas periksa, pengurusan sekolah, kelas tambahan dsb. Jika guru kerajaan barangkali ada elaun untuk tugas-tugas tertentu. Tetapi bagaimanalah nasib guru-guru di sekolah swasta/rakyat ???