13 Disember 2008

" Aqidah & Pengorbanan Pemacu Kebangkitan Ummah"

Kali ini saya cuba untuk mengambil beberapa isi penting daripada isi khutbah Aidil Adha yang telah disampaikan oleh para khatib pada Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini. Khutbah kali ini mengajak kita untuk memahami aqidah Islamiah yang sebenar dan nilai pengorbanan untuk agama yang merupakan tanda kekuatan aqidah seseorang mukmin. Jom sama-sama kita hayati….
"Aqidah Dan Pengorbanan Pemacu Kebangkitan Ummah"

Aqidah merupakan tunjang utama dalam pembentukan insan muslim yang bertaqwa dan bertamadun. Umat yang mempunyai aqidah kental akan sentiasa menuju ke arah kecemerlangan dengan penuh istiqamah. Muslim yang mempunyai aqidah salimah sentiasa memandang positif dalam mengharung cabaran hidup jahiliyah kini. Mereka tidak bersifat sepertimana sangkaan orang-orang kufur terhadap kehidupan mereka. Allah SWT menjelaskan dalam firmanNya:
أفحسبتم أنما خلقناكم عبثا وأنكم الينا لا ترجعون

Apakah kamu menyangka bahawa Kami menjadikan kamu hanya sia-sia?dan kamu menyangka pula bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?" (Surah al-Mukminun:115).

Tetapi orang-orang muslim mukmin yang mempunyai aqidah yang benar tahu akan tugas dan tanggungjawab mereka selaku hamba Allah di atas muka bumi ini.

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

"Dan tidak aku jadikan jin dan manusia itu kecuali untuk mereka beribadah kepadaKu" . (Surah Al-Zariyat 56)

يأيها الناس اعبدوا ربكم الذى خلقكم والذين من قبلكم لعلكم تتقون

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah (mengesakan dan taat) kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang –orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa”. ( S. al-Baqarah:21)

Dan tugas mereka juga bukan sahaja sebagai a’bid (hamba abdi kepada Allah) tetapi menanggung amanah mentadbir dan memakmurkan bumi Allah ini mengikut landasan syariatNya.
واذ قال ربك للملائكة اني جاعل فى الأرض خليفة

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". (Surah al-Baqarah ayat 30.)

Oleh kerana tugas-tugas dan amanah ini, mereka sentiasa teliti dan waspada dalam setiap gerak geri mereka agar tidak tergelincir dari undang-undang perlembagaan Allah SWT. Dengan itu aqal mereka sentiasa dipandu oleh wahyu Allah SWT : Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Aqidah merujuk kepada keyakinan bahawa sumber nilai norma dan hukum hakam ialah Allah SWT Yang Maha Esa. Segala-galanya dijadikan berkhidmat untuk Allah, sesuai dengan kehendak Allah. Aqidah Islam selaras dengan fitrah manusia sebagaimana ditegaskan dalam firman Allah SWT :
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا

Maksudnya "( Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (dan pengikut-pengikutmu wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan. (Turutilah terus) agama Allah iaitu agama yang Allah ciptakan manusia itu bersedia fitrahnya menerimanya" . (Surah Al-Rum 30)

Mimbar Aidil Adha tahun ini mengharapkan kita bersama-sama dapat membina dan meningkatkan aqidah kita secara istiqamah sebagai aqidah salimah (aqidah yang sejahtera dari ideologi ciptaan makhluk dan aqidah campuran antara haq dan batil). Semoga dengan aqidah salimah tersebut dapat menyatukan hati-hati dan fikiran kita untuk membawa amanah dan tugas selaku hamba Allah SWT di atas muka bumi ini.
……………………………………………..

Hari ini di Arafah, jutaan manusia Muslim yang menjadi tetamu Allah sedang bersesak berduyun menunaikan rukun Haji. Sangat beruntung mereka apabila dapat menyemadikan mabrur haji dalam ibadah mereka .

Aidil Adha dikenali juga hari raya Qurban, yang mengingatkan kita kenangan ribuan tahun bagaimana Nabi Ibrahim Alaihissalam, tentang patuhnya, tentang taatnya, tentang pengorbanannya, tentang kesabarannya apabila menerima perintah Allah. Atas nama sunnah ini, maka seluruh umat Islam di pelusuk dunia, yang berkemampuan telah menyembelih binatang ternakan sebagai tanda mengikut jejak langkah Rasul Alaihissalam.
…………………………………………………

Maksudnya: Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" ia menjawab: "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar". Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya ). Dan kami panggil dia: "Hai Ibrahim, Sesungguhnya kamu Telah membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian, (yaitu)"Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim".Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. ( as-Shaffat : 101 – 110 ).

Seluruh umat Islam menerima kisah sejarah benar ini. Tidak ada yang menafikan walaupun ada sekian ramai orang tidak ambil peduli. Orang yang beriman, bertaqwa, menerima kisah ini menjadikan sebagai sunnah yang dituntut dengan istilah korban. Disunatkan melihat darah yang memancut dari batang leher itu. Semoga bertambahlah ketaqwaan.
Kesimpulannya, melihat darah yang mengalir akan jadi kejap kukuhlah ketaqwaan, akan bertambahlah semangat ingin berkorban, akan bergandalah lapis-lapis iman dan subur rendanglah ketaqwaan kepada Allah, bahawa darah yang mengalir itu adalah penggerak jiwa perjuangan, jiwa pengorbanan bagi mendaulatkan perintah Allah Taala. Menandakan satu kekuatan aqidah yang tulus. Dengan darah itulah juga umat Islam diberitahu, bahawa itulah nilai maruah yang paling tinggi. Dengan cecair pekat merah yang mengalir dari halqum itulah, Islam memberitahu bahawa sesiapa saja yang mengakui Islam sebagai Diin-nya . Jangan sekali-kali memandang remeh.

Tetapi sayang, menjelang abad dua puluh satu ini, darah bagi umat Islam tidak ada ertinya lagi. Mengalirlah di mana-mana pun, kita tidak peduli. Terpancutlah di mana-mana pun, itu bukan urusan kita. Betapa bagaikan sungai, ia hanya dilihat seperti air lumpur dari cerun bencana alam sahaja. Natijah dari apa yang disebut darah ini, pastinya darah umat Islam, satu-satunya umat yang diangkat mertabat tentang kehebatan jihad dan berkorban. Tapi persoalannya, dimanakah kehebatan dan inti maruah itu?
………………………………….

Memahami Islam dan berjuang tanpa pengorbanan , segalanya menjadi sia – sia malah mengundang murka Allah swt . Lantaran itu korbankanlah kepentingan diri dan dunia kalian demi agama Allah swt .

Renungilah maksud firman Allah swt :

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai,- (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”. (Surah At Taubah . Ayat : 24 )

Semangat perjuangan dan roh pengorbanan yang lahir atas dasar aqidah salimah dan sebuah keinsafan seorang muslim adalah dua senjata utama untuk kejayaan mendaulatkan syariat Allah swt . Dua senjata inilah pula , yang mampu menghadapi serangan musuh dan menewaskan perisai mereka . Maka marilah kita membina dan memiliki semangat perjuangan dan roh pengorbanan ini , supaya kita mampu menghadapi pelbagai konspirasi musuh yang semakin meningkat mutakhir ini . Allah swt. mengajar kita untuk mempersiapkan segalanya dan terus beraksi di medan untuk menegakkan agama Allah dalam apa jua keadaan yang dihadapi samada tika kita susah atau senang, miskin atau kaya, berat atau ringan.

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. “ ( Surah At Taubah . Ayat : 41 )
…………………………………………..

Kesimpulan isi khutbah hari ini ialah, di mana-mana pun atas nama Islam, tidak ada penghormatan lagi. Benarlah umat Islam seperti buih. Ajaran korban dengan induknya ialah Jihad diremehkan oleh umat Islam sendiri. Paling malang ada di antara kita yang meremehkan jihad dan korban ini dengan meminjam istilah Amerika dan musuh Islam, iaitu ‘keganasan, pelampau, militan’ dan kemudiannya kita dipujuk dengan bahasa lunak, ‘bersyukur kerana kita tidak seperti mereka’. Satu idelogi yang ditanam dalam otak kita dan masyarakat oleh golongan penjajah. Oleh sebab itu, kita mundur; pengecut dan bersikap negatif dengan ajaran Islam kita sendiri. Memang umat Islam seperti buih. Memang buih pun selepas umat Islam mengabaikan jamaah, mengabaikan peninggalan jihad para sahabat dan tabiin.

Sempena dengan peristiwa Nabi Allah Ibrahim a.s. bersama keluarga baginda itu dapat memasakkan lagi aqidah yang kuat dalam diri kita. Cinta antara seorang ayah, ibu dan anak diketepikan semata-mata menunaikan cinta kepada Allah Taala. Justeru, menaikkan kembali semangat perjuangan dan pengorbanan kita untuk melihat Islam kembali bersinar di muka bumi Allah swt. ini.

Korbankanlah masa kita , tenaga , wang ringgit dan jika perlu darah dan nyawa kita demi agama Allah swt. , agama yang kita cintai. Pengorbanan adalah nilai perjuangan. Tiada istilah perjuangan jika tidak menempuh pengorbanan.

( Petikan dari teks khutbah Aidil Adha 1429 H di DPMM, penyusunan oleh: Unit Dakwah dan Pembangunan Insan DPMM sesi 2008/2009 ).

9 Disember 2008

Salam Aidil Adha....salam pengorbanan

Assalamualaikum w.b.t.
Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar walillahil hamd,

Walaupun sudah hari kedua menyambut Aidil Adha harap tidak ada yang mengatakan saya terlewat untuk mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidil Adha' kepada semua mukminin/mukminat dan muslimin/muslimat khususnya mereka yang melawati blog ini.

Kenapa? Sepatutnya lagi best kalau mengucapkannya pada malam hari raya atau pada pagi hari raya pertama. Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana mengurniakan kepada kita hari raya Aidil Adha selama 4 hari berturut-turut iaitu dari 10 Zulhijjah hingga ke 13 Zulhijjah (Hari Tasyriq 11,12,13 Zulhijjah). Tetapi kebanyakkan kita kurang menyedarinya, bukan tidak tahu tetapi kurang menyedari. Jadi kita rayakanlah selama 4 hari raya kita ini dengan takbir, tasbih dan tahmid; mengagungkan kebesaran Allah Taala. Bukan sekadar di atas gerakan lidah semata tetapi di hati sanubari dan bukti pada gerak anggota tubuh kita (InsyaAllah). Selain itu, merapatkan lagi hubugan silaturrahim dengan ziarah-menziarahi dan bergotong royong membantu perlaksanaan ibadah korban.

Kebanyakkan kita juga sering menyebut hari raya pada bulan Zulhijjah ini sebagai hari raya haji kerana meraikan para tetamu Allah di Tanah Haram yang mengerjakan ibadah haji. Sedang kita lupa hari raya haji juga dikenali sebagai hari raya korban (Aidul Adha). Mungkin tidak lupa cuma kurang menyedari. Oleh sebab itu, kita muslimin dan muslimat yang tidak berkesempatan untuk menunaikan ibadah yang mulia ini sebahagiannya menganggap hari raya Aidul Adha tiada erti buat kita. Lupakah kita betapa begitu luasnya erti disebalik hari raya haji atau hari raya korban? Rujuk semula sejarah Nabi Allah Ibrahim a.s. bersama anaknya Nabi Ismail a.s. Dan jangan lupa juga merujuk semula sirah Rasulullah s.a.w. sempena peristiwa di bulan Zulhijjah ini.

Baiklah, saya mengundur diri dahulu kerana telah curi-curi waktu meninggalkan beberapa orang sahabat di tempat korban yang diadakan kelmarin (tempat dan peralatan belum dicucikan dengan baik).
Wassalam. Salam perjuangan, salam pengorbanan. ;)