24 April 2008

Pakaian kita sebagai muslim

Di dalam Islam hak berpakaian bukanlah hak milik bebas kita semua. Sebagai hamba Allah, kita perlu memahami hidup ini sentiasa diikat dengan pelbagai jenis hak antara satu sama lain. Hak terutama dan yang tertinggi ; adalah hak Allah SWT, samada suka atau tidak sesuatu hukum yang 'putus' seperti larangan Zina, Riba, tinggal solat, menutup aurat dan lain-lain adalah tidak boleh betoleransi oleh keadaan dan berubah mengikut peredaran zaman. Sebarang idea dan logik aqal manusia tidak boleh masuk campur dalam hal urusan hukum sebegini untuk mengubahnya menjadi harus dan halal.Tubuh ini adalah pinjaman sahaja dan bukan hak milik kita. Jika hak milik kita, kita boleh mematikannya dan menghidupkannya semula sesuka hati kita. Justeru bagi sesiapa yang punyai iman, hak kebebasannya untuk memilih apa jua jenis pakaiannya adalah tertakluk kepada displin pakaian yang ditentukan oleh Allah dan RasulNya. Berdasarkan hak tersebut, wanita dan lelaki yang masih ada keimanan terhadap Allah dan rasulNya serta hari kematian dan balasannya, mereka tidak boleh melanggar hak Allah ini.

Isu atau masalah pemakaian muslim bukanlah sahaja perlu difokus kepada golongan wanita tetapi begitulah keadaan dan tabiei alam ini. Kerana kesan fitnah itu lebih besar berpunca daripada seseorang wanita berbanding daripada kaum lelaki. Namun tidak mustahil jika sebaliknya yang berlaku. Walau bagaimanapun kedatangan Islam telah mengangkat martabat wanita ke tempat yang adil berbanding agama-agama lain yang menekan golongan ini sehingga meletakkan taraf mereka tidak setanding sebagai seorang insan. Ditanam hidup-hidup, dijadikan korban kepada tuhan, dilacur dan sebagainya. Maka datangnya Islam sebagai rahmat dan satu nikmat yang tidak boleh dijualbeli. Betapa ruginya dan tidak beperikemanusiaan muslim yang mengambil mudah-mudah pada syariat agama dan mempersendakannya.

Masalah aurat dan etika berpakaian ini kita boleh merujuk melalui maksud surah An Nuur ayat 31. Firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah kepada wanita yang beriman "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada: suami mereka, ayah mereka, ayah suami mereka,putera-putera mereka, putera-putera suami mereka, saudara-saudara lelaki mereka, putera-putera saudara lelaki mereka, putera-putera saudara perempuan mereka, wanita-wanita Islam, hamba-hamba yang mereka miliki, pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita, anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita,Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung".

Mengenai menutup aurat dengan ipar telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW bahawa ipar itu adalah maut. Maksud maut di sini adalah bahaya yang sangat besar yang akan terjadi jika pergaulan di antara mereka tidak diatur sesuai dengan tuntunan Islam. Di dalam satu riwayat daripada Imam Bukhari & Muslim: Asma' Binti Abu Bakar telah menemui Rasululah SAW dengan memakai pakaian yang nipis. Lalu sabda Rasulullah SAW (bermaksud): "Wahai Asma' Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaidh tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah sahaja".

Namun begitu, bukanlah wanita sahaja yang perlu menjaga adab-adab berpakaian dan auratnya, bahkan lelaki juga perlu mengambil berat berkenaan perkara tersebut terutama di hadapan perempuan yang bukan muhram.

Seorang perempuan tua yang telah putus haidh dan tidak berkeinginan untuk berkahwin lagi juga digalakkan menutup auratnya;perkara ini telah disebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi, maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu, perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". (Surah.An-Nur:60)

Menutup aurat, berpakaian sopan, berjilbab bukanlah suatu perkara yang sia-sia. Faedahnya diberi oleh Allah SWT sedari di dunia lagi. Apatah pula ganjaran di akhirat kelak kerana mereka orang-orang yang tunduk patuh pada perintah Tuhannya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 59:"Wahai Nabi,suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaian mereka bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa mereka keluar),cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik);maka dengan itu,mereka tidak diganggu.Dan(ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Melabuhkan pakaian (jilbab) mempunyai pelbagai tafsiran dari kalangan ulama'dalam bentuk pakian. Cukuplah sebagai contoh yang dapat penulis berikan seperti: baju kurung (yang tidak ketat,tidak berbelah,tidak jarang dsb),jubah,tudung labuh ke pinggang,tudung turki (atau yang boleh menutup kepala dan dadanya), ber stokin, purdah dll. Kaum lelaki jua mendapat faedah jika mereka menuruti adab dalam berpakaian; contoh yang boleh saya bawakan, seorang muslim yang berpakaian sopan, berkopiah atau berserban apatah lagi berjubah selalunya disegani oleh masyarakat.Namun, akhlaknya juga perlu dijaga. Sehinggakan jika muslim ini menghadiri ke tempat yang lagho dia akan disegani oleh orang-orang di situ,tersipu-sipu malu untuk melakukan sesuatu kejahatan.Maka benarlah Islam itu merupakan nikmat dan rahmat untuk sekalian alam. Jangan pula kita cuba mengkufurinya.