25 Januari 2007

Puisi : Jazirah al-Ward

Jazirah al-Ward
di persadamu aku ditakdirkan menumpang cuma
secebis waktu
demi mencari bekalan diri,
bekal kebahagiaan dunia dan akhirat.
Dikau mengenalkanku erti hidup asing ini;
asing dari alam kehidupankusebelumnya.

Jazirah al-Ward
dikau mengajarku matang menilai
kehidupan ini
mendidikku berdikari
jauh dari bumi sendiri
melangkah setapak demi setapak
mencari erti sebuah kehidupan.

Jazirah al-Ward
di persadamu teguh berdiri menara ilmu
yang banyak berjasa untuk diri dan masyarakat
mengajar erti kehidupan sebenar dan kematian hakiki.
Di sini juga daku mengenali teman-teman seperjuangan
mewarnai kehidupanku dengan warna-warni pelangi,
tidak kurang juga liku hidup yang bersimpang siur
melewati curam-curam dalam
nyaris-nyaris terbabas.

Jazirah al-Ward,
dengan keberadaanmu
daku menadah ilmu guru-guru
sentiasa menaruh harapan tinggi buat anak-anak muridnya
menuntut dan mencari sekadar
kemampuanku yang sememangnya lemah
cuba melangkah kadang terjatuh
hanya kepada Tuhan kumengharap petunjuk bimbingan
moga tidak terus jatuh tanpa bangun kembali.

( telah diedit oleh Mohd Zaki-Johor-Cairo )

Jazirah al-Ward- Pemukiman kami..

Mansurah sebuah bandar yang sememang terkenal dengan pelbagai lakaran sejarah yang menarik meliputi dinasti Firaun , pemerintahan Rom, perkembanagan ajaran Kristian, dan kemasukan Islam. Mansurah antara yang dikenali sebagai kuasa besar dalam tamadun Islam di rantau benua Afrika. Bandar ini juga merupakan bandar ketiga terbesar di Republik Arab Mesir lantaran kemajuan dan pertumbuhan ekonomi yang terus membangun. Selain Universiti Al-Azhar yang merupakan cawangan di Mansurah, di sini juga telah ditubuhkan kuliah kuliah perubatan terbesar di Mesir sehingga diberi nama Madinah at-Tib.
Bumi Mansurah merupakan bandar tua yang dikenali dengan Jazirah al-Ward, iaitu pertemuan di antara sebuah pulau dengan sungai kecil dan laut hingga membentuk delta yang ditumbuhi bunga-bunga mawar yang segar dan mekar. Bersempena nama yang unik itu, dewan utama siswa-siswi Malaysia di sini yang mula beroperasi pada tahun 1996 telah diberi nama- Dewan Persada Jazirah al-Ward (DPJA). Manakala pada tahun 2004 sebuah program mega telah dilaksanakan oleh Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah (DPMM) dengan nama Interaksi al-Ward' 04.
Semoga Persada Jazirah al-Ward yang penuh dengan peristiwa dan sejarah silam; bermula dari Dinasti Firaun hinggalah kemasukan agama Islam yang dibawa oleh Amru al-A'sh r.a. melalui kota Iskandariah terus berada dalam rahmat dan keberkatan Allah s.w.t.